Kerajaan sedia menimbang mengadakan misi menyelamat pelajar yang membuat keputusan untuk tinggal di Mesir jika pergolakan politik di negara berkenaan kian buruk, kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan pelajar yang tidak pulang ke tanah air berikutan keadaan negara itu yang masih belum stabil.
Beliau turut mengingatkan mereka yang masih berada di negara berkenaan supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melakukan perkara yang boleh mendedahkan diri kepada risiko.
"Mereka sepatutnya memilih untuk pulang ke tanah air menerusi misi Operasi Piramid untuk membawa keluar pelajar kerana kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemungkinan berlaku kemudian.
"Macam mana kerajaan nak bertanggungjawab kerana kita sudah tawarkan tetapi mereka tidak mahu balik.
"Bagaimanapun, jika keadaan bertambah buruk dan mereka berada dalam keadaan cemas, kita boleh pertimbangkan bantuan untuk membawa mereka balik," katanya pada sidang media selepas membawa Jemaah Menteri melawat Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB) Bukit Kenau, Pulau Manis dekat sini, semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan terdapat lebih 2,000 pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di Mesir tidak mahu pulang kerana beranggapan krisis semakin pulih dan akan berakhir dalam masa terdekat.
Kebanyakan mereka yang enggan pulang tinggal di kawasan zon selamat seperti di Tanta, Mansurah dan Damanhur yang jaraknya beratus-ratus kilometer dari tempat rusuhan sekitar bandar raya Kaherah dan Iskandariah.
Sambil berharap keadaan di Mesir akan segera pulih, Najib berkata, beliau berpuas hati dengan misi membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir.
Beliau berkata, mesyuarat Kabinet di Kompleks Yayasan Pahang pagi semalam, turut membincangkan apa yang patut dilakukan kerajaan untuk menjamin masa depan pelajar terbabit.
"Kita serahkan kepada Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) untuk memikirkan apa yang patut kita lakukan kepada pelajar kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan