PALO ALTO, Amerika Syarikat (AS) - Pengasas bersama Facebook, Mark Zuckerberg berjaya mendapatkan perintah daripada mahkamah bagi melarang seorang lelaki menghendap, mengganggu dan mengancamnya, lapor laman hiburan TMZ kelmarin.
Zuckerberg, 26, memfailkan perintah tersebut terhadap lelaki berusia 31 tahun itu, Pradeep Manukonda yang didakwa cuba mengekori, menghendap dan menghubunginya dengan menggunakan kata-kata yang mengancam keselamatan dirinya, teman wanita dan saudara perempuannya.
"Tolonglah bantu saya, saya bersedia mati untuk anda. Tolong fahami penderitaan saya," menurut satu mesej daripada Manukonda di Facebook kepada Zuckerberg.
Sumber-sumber pihak berkuasa memberitahu TMZ bahawa Manukonda cuba bersemuka dengan Zuckerberg di rumah pengasas laman web itu dan di beberapa pejabat Facebook di sini, negeri California, untuk meminta bantuan kewangan kepada keluarganya.
Menurut sumber berkenaan, lelaki itu turut menghantar bunga dan sepucuk surat bertulisan tangan ke rumahnya pada 28 Januari lalu.
Ekoran itu, seorang hakim mengarahkan Manukonda supaya berada pada jarak sekurang-kurangnya 274 meter dari Zuckerberg, saudara perempuan pengasas laman itu, Randi dan teman wanitanya, Priscilla Chan sehingga satu perbicaraan diadakan lewat bulan ini.
Muka surat Facebook Zuckerberg digodam pada hujung Januari lepas. - Agensi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan