SAMBUTAN malam menjelang tahun baru di Pulau Pinang kali ini bakal mencatat nama dalam The Guinness Book of World Record sebagai 'kelas tarian paling ramai' pernah dianjurkan.
Pastinya cubaan berani ini bukan gurauan. Pada saat ini, penganjurnya CreatiVision D.C. Sdn. Bhd. (CreatiVision) giat mengumpul seramai mungkin pendaftaran peserta sama ada yang berdaftar secara berkumpulan dan perseorangan menerusi talian.
Dikenali sebagai 'Penang Golden 2010' (PG2010), ia turut dianjur bagi meraikan sambutan pengumuman status bandar raya George Town oleh kerajaan Inggeris kira-kira 52 tahun lalu.
Apa yang pasti, seawal pukul 8 malam pada 31 Disember nanti, tidak kurang 20,000 orang penari sama ada profesional atau amatur bersedia memenuhi kawasan lapang Esplanade Padang Kota Lama bagi mempersembahkan tarian bertemakan 1 Population 1 World (1P1W).
Bagi memastikan segala perancangan berjalan lancar, CreatiVision turut memuat naik koreografi tarian yang boleh dilayari secara dalam talian.
"Kami mengajak orang ramai khususnya belia, ahli kelab tarian, kelab peminat selebriti, ahli korporat dan semua persatuan untuk turut serta," kata Pengarah Urusan CreatiVision, Adelyn Lim.
Menurut Adelyn, program itu adalah sebahagian daripada usaha pihaknya menyokong kempen 'Bersatu Untuk Kanak-kanak' oleh Tabung Kanak-kanak UNICEF.
Percubaan mengadakan tarian terbesar itu bukanlah sesuatu yang baru kerana rekod seumpamanya pernah dicatat oleh 7,770 orang penari dari Cebu, Filipina. Ia pasti menjadi satu kejayaan tersendiri sekiranya rekod baru dicatat di sini.
"Untuk rekod, setiap peserta perlu mengisi borang yang boleh dimuat turun daripada laman rasmi kami di www.9-creativision.org atau www.rolfcommunity.org.
"Orang ramai juga boleh mempelajari gerak tari yang bakal dipersembahkan dengan memuat turun klip video yang ditayangkan dalam laman youtube dan Facebook," katanya ketika ditemui selepas pelancaran PG2010 di sini baru-baru ini.
Bagi memastikan kejayaan persembahan, beberapa sesi latihan diadakan di Padang Kota Lama pada 19, 20, 26, 27, 30 dan 31 Disember sebelum dijayakan pada malam sambutan.
"Bagi remaja di bawah 16 tahun kami minta mereka mendapatkan kebenaran ibu bapa. Kami juga pelawa orang ramai turut serta dengan membawa keluarga bersama.
"Di samping tarian, beberapa artis terkemuka bakal membuat persembahan pembukaan seperti kumpulan Estranged, Sofaz, The Villanz, juara Akademi Fantasia 2009 iaitu Hafiz dan penyanyi Amy Wang.
"Bagi memastikan momentum pesta kekal hangat, tiga pengacara terkenal bergilir-gilir mengendalikan pesta pada malam itu. Mereka ialah T.P Lim, K.K Wong dan Tria yang juga bekas juara program realiti Audition 2004," ujarnya.
Seperti penganjuran kali pertama sejak lima tahun lalu, CreatiVision kekal memilih peneraju khidmat telekomunikasi mudah alih, Celcom (M) Berhad (Celcom) sebagai rakan berkaloborasi.
Selaku penaja utama, Timbalan Presiden Celcom Wilayah Utara, Saiful Bahrin Abdul Ghaffar menyifatkan penganjuran kali kelima itu memberi peluang kepada pihaknya untuk meraikan para pelanggan dalam acara pesta jalanan yang cukup meriah.
Di samping berhibur, pengunjung juga berpeluang memenangi seutas rantai tangan emas bernilai RM700 serta pelbagai hadiah menarik lain yang disediakan penganjur. Mereka hanya perlu membeli kad tambah nilai Celcom serendah RM10.
Pengunjung yang datang bersama keluarga boleh melayari khidmat jalur lebar percuma di gerai Celcom. Selain mencuba pelbagai permainan interaktif yang disediakan.
"Kami juga menawarkan pelbagai pakej 'hujung tahun' yang menarik kepada pengunjung. Misalnya langganan jalur lebar pada harga rendah serta peluang mendapat telefon pintar Blackberry secara percuma.
"Sejak kali pertama diadakan pada tahun 2004, ia bukan sekadar satu sambutan tahun baru yang biasa. Tetapi dapat mendekatkan lagi Celcom dengan pelanggan dan orang ramai," ujar beliau.
Dijangkakan lebih 100,000 orang pengunjung akan membanjiri Esplanade pada malam itu. Ia merupakan sambutan malam tahun baru terbesar yang dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pelancongan Pulau Pinang. - NIZHA PERIASWAMY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan