Rabu, 18 Mei 2011

KISAH PENGISLAMAN YG MENYENTUH KALBU


 
APABILA berlaku pengislaman, acap kali yang diambil perhatian ialah dari sudut penerimaan hidayah serta cabaran empunya diri. Manakala bagi yang sudah berkeluarga, persoalan yang sering dibangkitkan, apakah reaksi pasangan dan keluarga mereka? 

Jarang terlintas di fikiran kita bertanyakan bagaimana penerimaan anak-anak kesan tindakan orang tua mereka yang mengambil keputusan memeluk Islam. 

Apa yang dilalui oleh pasangan kembar, Nur Dayana dan Nur Diyana, 9, serta adik lelaki mereka, Muhammad Adam, 7, sejurus pengislaman ibu bapa mereka, Muhammad Azhar Abdullah dan Nur Liyana Abdullah pada awal tahun turut diakui mencabar, apatah lagi bagi kanak-kanak seusia mereka. 

Kata Azhar, jika dibandingkan apa yang beliau dan isteri hadapi amat berbeza kerana sebagai orang dewasa lebih mudah mengendalikan cabaran yang mendatang. 

Walaupun mereka pernah disisihkan di sekolah oleh teman-teman serta ditekan dari segi mental daripada saudara mara yang tidak bersetuju dengan pengislaman itu, alhamdulillah mereka berjaya mengatasinya. 

“Pun begitu, apabila mereka menyuarakan kekecewaan dan bercerita bagaimana mereka dilayan, sedikit sebanyak ia menyentuh hati kami sebagai ibu bapa mereka. Apa pun, saya amat berbangga dengan mereka tiga beradik. 

“Sungguhpun pada usia semuda ini mereka berjaya mengharunginya dan semakin lancar dalam pengajian ilmu agamanya,” luah pasangan muda yang berusia 36 tahun ini sewaktu ditemui di rumah mereka di Bandar Sri Damansara, baru-baru ini. 

Azhar yang merupakan guru Pengurusan dan Perniagaan (IB) di Sri KDU Smart School, sebuah sekolah swasta di Kota Damansara, Petaling, Selangor, menyedari cabaran yang bakal dihadapi terutamanya kepada anak-anak,. 

Sehubungan itu, beliau memberi pendedahan mengenai keIslaman kepada Nur Dayana, Nur Diyana dan Muhammad Adam menerusi membacakan kisah-kisah nabi. 

Di samping itu, beliau juga bersikap lebih terbuka dengan anak-anak kerana memahami sifat azali kanak-kanak yang suka bertanya. 

Lebih-lebih lagi apabila melihat orang tua mereka melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kebiasaan adat budaya agama datuk nenek mereka iaitu Hindu. 

Alhamdulillah, Allah memudahkan segalanya. Kini, dengan adanya seorang ustazah yang datang ke rumah mengajar Iqra’ pada setiap Ahad, ia mempermudahkan lagi pembelajaran mereka di sekolah. Malah minat mereka untuk mempelajari bahasa Arab dan Jawi sudah semakin lancar. 

“Kami juga percaya dan berkeyakinan apabila kita ikhlas dan bersungguh-sungguh dengan-Nya, Allah sentiasa akan memudahkannya waima sebagai hamba-Nya kita tidak terlepas daripada sebarang ujian. 

Tidak pernah menyesal 

“Kami masih ingat sewaktu hendak memilih nama anak ketiga. Kami bercadang menamakannya Azhari tetapi dia mahukan nama Muhammad Adam. Katanya dia sukakan nama Adam bersempena dengan Nabi Adam menerusi cerita yang pernah disampaikan sebelum ini,” akui Azhar dan Nur Liyana yang tidak pernah menyesal dengan keputusan pengislaman biarpun diduga dengan pelbagai ujian getir. 

Menceritakan bagaimana pencarian tentang Islamnya bermula, beliau selalu tertanya dalam diri mengapa manusia perlu menyembah berhala. 

Azhar menerima jawapan mengenai hal itu tetapi jauh di sudut hatinya masih wujud rasa tidak berpuas hati. 

Rencana tentang pengharaman filem kartun, Prince of Egypt untuk tayangan di Malaysia menjadi pencetus segalanya. Ini kerana filem itu dikatakan menggambarkan Nabi Musa. 

Beliau hairan kerana setahunya kisah Nabi Musa atau Moses hanya wujud dalam kitab Bible. Mengapa pula orang Islam mempertikaikannya. 

“Dari situ saya mula mencari jawapan. Kebetulan sewaktu mengajar tuisyen di rumah seorang pelajar Kristian, saya terkejut melihat ada senaskhah al-Quran terjemahan tersusun bersama buku-buku lain di atas rak,” katanya. 

Beliau terpanggil untuk membeleknya kerana selama ini tidak pernah mengambil tahu tentang kandungan al-Quran. Bila dibelek-belek, beliau semakin keliru kerana di dalam al-Quran terdapat banyak kisah-kisah tentang para nabi sebagaimana di dalam Bible. 

Malah, beliau juga tidak menyangka bahawa agama Islam juga mempunyai persamaan yang amat hampir. 

Memandangkan kitab itu kepunyaan pelajar, tanpa berlengah beliau membelinya agar dapat terus mengkajinya. 

Semakin banyak yang dibaca, semakin banyak yang diketahui tentang Islam dan tanpa disedari mesej itu sampai ke hatinya. Apa yang membuatkan hatinya lebih terkesan ialah membaca kisah kaum-kaum terdahulu yang dimusnahkan oleh Allah kerana keingkaran mereka patuh kepada suruhan Allah, sebaliknya menyembah berhala. 

“Saya mula terfikir, mengapa saya masih menyembah berhala. Sedikit demi sedikit saya mula meninggalkan amalan penyembahan dan berhenti sembahyang. Pada Julai 2005, saya sudah yakin sepenuhnya tetapi masih tidak memeluk Islam kerana mahu isteri ikut serta ke jalan kebenaran itu,” katanya. 

Dalam masa yang sama, beliau menerangkan keindahan Islam kepada isteri, anak-anak seterusnya meninggalkan amalan kepercayaan kepada agama sebelum ini. Semua ini dilakukan secara senyap-senyap dan cuma mereka sekeluarga mengetahuinya. 

“Ini kerana saya mengetahui persepsi keluarga terhadap agama Islam yang lebih menjurus kepada perkara negatif,” terang Azhari atau nama sebelum Islamnya, Kumar Nagappan yang sentiasa berdoa agar ditunjukkan Tuhan agama yang benar. 

Di pihak Nur Liyana pula, biarpun beliau sudah diceritakan serba sedikit tentang Islam namun untuk bertukar agama, belum terlintas langsung malah tidak berharap. 

Mereka masih meneruskan kehidupan seperti biasa cuma Azhar sudah tidak lagi melakukan sembahyang seorang penganut Hindu. 

“Boleh dikatakan sudah 50 peratus saya dapat memahami dan menerima apa yang Azhar terangkan berkenaan Islam. Namun untuk bertukar kepada agama itu, saya masih keberatan,” jelasnya. 

Ini kerana, beliau ialah seorang anak yang begitu taat kepada ibu bapa biarpun sudah berumah tangga. Oleh itu, baginya, mengingkari mereka bermakna anak yang derhaka. 

“Jadi, saya seboleh-bolehnya tidak mahu timbul perselisihan antara kami. Mungkin disebabkan hal inilah saya lewat mengambil keputusan. 

Apabila berpindah ke Bandar Sri Damansara, Azhar mahu menerapkan cara hidup Islam di rumah baru. 

“Pada mulanya saya agak keberatan kerana dia sudah mula menggantungkan gambar Kaabah dan meletakkan terjemahan al-Quran. Kali ini Azhar tidak mahu lagi berselindung dan memang serius. 

“Di rumah baru ini jugalah saya pernah mengalami pengalaman di mana hampir setiap malam kira-kira pukul 1 pagi selama sebulan saya akan terjaga dari tidur. Bila mata tidak mengantuk, saya mula terfikir tentang pelbagai persoalan. 

“Adakah ini petunjuk dari Tuhan dan dari situlah saya berusaha mendekati Islam,” kata Nur Liyana yang kini mengajar di Sekolah Sri Bestari, Bandar Sri Damansara sejak empat tahun lalu. 

Cabaran 

Menceritakan cabaran yang dihadapinya sebelum bergelar Muslim, tambah Nur Liyana, kebenaran berpoligami di dalam Islam sentiasa dijadikan modal keluarga untuk menakutkannya selain bimbang terputusnya ikatan kekeluargaan sedikit sebanyak merencatkan hasratnya untuk menerima hidayah Allah. 

Celah Azhar, apabila isterinya mula menampakkan minat kepada Islam datang pula cabaran. Rakan sekerja Nur Liyana yang baru masuk Kristian cuba memujuknya supaya menerima agama Kristian. Boleh dikatakan setiap hari isterinya menerangkan tentang Kristian. 

“Saya terpaksa beri pelbagai hujahan untuk menguatkan kebenaran bahawa agama Islam adalah agama yang betul. Alhamdulillah dia dapat terima. 

“Masalah lain pula timbul apabila isteri tidak mahu pula mengisytiharkan pengislaman kami, sebaliknya mahu teruskan cara hidup seperti biasa tanpa menukar agama kerana bimbang diketahui oleh ahli keluarga dan saudara mara yang lain,” jelasnya. 

Pada mulanya Azhar bersetuju, tetapi berubah fikiran apabila memikirkan masalah yang timbul akibat merahsiakan pengislaman seperti jika berlaku kematian atau menjalankan tanggungjawab seorang Muslim. 

“Kami menemui jalan buntu sehinggalah disarankan oleh seorang teman isteri agar kami bertemu dengan Ustaz Fitri Abdullah iaitu Pengerusi Perkim cawangan Serendah, Selangor. 

“Kisah Ustaz Fitri yang berketurunan Brahmin iaitu kasta yang paling tinggi sanggup memilih Islam, menyedarkan kami bahawa apa yang kami lalui ini jauh panggang dari api,” katanya. 

Selepas mendengar nasihat dan kata-kata semangat daripada Ustaz Fitri, pintu hati isterinya terbuka untuk menerima Islam. 

Azhar yang mengucap dua kalimah syahadah bersama isteri dan tiga orang anak-anaknya di Darul Syifa, Bandar Baru Bangi, Selangor oleh Datuk Haron Din.

Tambah Azhar yang pernah mengajar di Qids Integrated School, sebulan pertama selepas pengislaman beliau dan isteri dilayan macam pasangan yang sedang berbulan madu. Setiap hari ada sahaja teman-teman sesama Islam yang meraikan mereka sekeluarga. 

Namun Azhar sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan penerimaan keluarga sebelahnya dan isteri sebaik sahaja berita pengislaman mereka diketahui keluarga. Beberapa bulan selepas pengislaman, hubungan dengan keluarga dan keluarga mertua agak renggang. 

“Saya tidak mahu ia terus berkekalan begitu. Sebab itulah, semasa Deepavali, kami berkunjung ke rumah kedua-dua belah keluarga. 

“Kami mahu menunjukkan contoh yang baik kepada kedua-dua keluarga kerana Islam itu sendiri mendidik umatnya supaya menonjolkan akhlak yang baik apatah lagi dengan ibu bapa,” jelas Azhar. 

Alhamdulillah, katanya, mereka akhirnya merestui pengislaman Azhar sekeluarga selepas mendengar penjelasan sebenar. 

“Selama ini ibu menganggap saya dipengaruhi oleh satu unsur ‘lain’ yang dikaburi dengan pelbagai imbuhan. 

“Sebagai anak, saya wajib menghormati mereka dan cuba menerangkan selembut boleh bahawa keikhlasan kami lahir bukanlah dalam tempoh singkat tetapi setelah mengkaji lebih lima tahun mengenai Islam,” ujar Azhar yang berazam menjadi contoh kepada para pelajarnya sekali gus mengurangkan persepsi negatif segelintir bukan Islam terhadap agama Islam itu sendiri. 

Mutiara Kata

:: Pandangan mata selalu menimpa, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hatilah yang hakiki kalau hati itu bersih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan