Khamis, 12 Mei 2011

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1. Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadith berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata:

Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

 

2. Meluruskan telapak kaki dengan telapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata,
“(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.”
(Hadith Riwayat Bukhari)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud)


 
Betul – Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)


 
Salah – Kaki tidak lurus ke hadapan

3. Menutup celahan di antara saf

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.”
(Hadith Riwayat Abu Daud, an-Nasa’i, Ahmad, )

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)


4. Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang betul
Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata,

“Adalah Rasulullah SAW selalu membetulkan saf kami seperti membetulkan anak panah, sehingga kami benar-benar faham akan kepentingan membetul dan meluruskannya (saf). Pada suatu hari ketika baginda keluar solat bersama kami sedang baginda hampir bertakbir terlihat seorang lelaki yang kedudukan dadanya mengereng dari saf, lantaran baginda bersabda: “Wahai hamba-hamba Allah sama ada kamu betul dan luruskan saf-saf kamu atau Allah SWT memalingkan wajah-Nya daripada wajah-wajah kamu.”

(Hadith Riwayat Muslim, , Abu Daud, dan al-Tarmidzi)


Merapat dan meluruskan saf kelihatan seolah-olah perkara kecil dan remeh walhal ia merupakan suruhan Rasulullah. Kita tanyakan kepada diri kita, perkara yang sekecil ini kita remehkan bagaimana pula perkara yang lebih besar. Adakah ini tandanya kita menyintai kekasih Allah yang mulia, Nabi Muhammad s.a.w?

Rasulullah bersabda:

“Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
(Hadith Riwayat Al Bukhari)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (shalallahu ‘alaihi wasallam) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa yang ditegah daripada kamu, hendaklah kamu jauhi.dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya”.
( Surah Al Hasyr: ayat 7)

Anas berkata, Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya maka dia mendapati kemanisan iman. 

Pertama, hendaklah Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai kecuali kerana Allah. Kedua, taat ibu bapa selagi tidak melanggar perintah Allah. Ketiga, hendaklah dia benci untuk kembali kepada kekufuran seperti mana dia benci untuk dicampakkan ke dalam neraka.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Jika kecintaan kepada ibu bapa menuntut ketaatan terhadap perintah mereka, apakah pula alasannya tidak mengendahkan perintah Rasulullah SAW sedangkan kedudukan cinta terhadap Baginda lebih tinggi berbanding ibu bapa.

Begitulah kecintaan sebenar kepada Rasulullah SAW perlu mengikut sunnah Baginda seperti firman Allah bermaksud:

“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah Ali-Imran, ayat 31)

Galilah ilmu tentang Al Quran dan hadith yang sahih dan jangan menjadi orang yang mengikut-ngikut perbuatan orang lain kerana kita hanya akan selamat dunia dan akhirat dengan berpegang teguh pada keduanya. Tanda kita menyintai Rasulullah ialah mengamalkan suruhan dan meninggalkan larangannya. 

Cara ibadah, muamalat dan sebagainya dalam kehidupan sepertimana yang diajarkan oleh Rasulullah hanya dapat diketahui melalui Al Quran dan hadith yang sahih. Tinggalkanlah segala bentuk larangan Rasulullah walaupun masyarakat banyak melakukannya kerana jaminan ke syurga idaman adalah mengikut ajaran yang dibawakan Rasul yang mulia.
Waulahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan