Rabu, 29 Julai 2009

Orang Ramai Minta Batalkan Perhimpunan Mansuh ISA

Rakyat pelbagai lapisan, termasuk peniaga, kesatuan sekerja serta badan bukan kerajaan (NGO) meminta penganjur perhimpunan haram bagi mendesak kerajaan menghapuskan dan mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di ibu negara Sabtu ini membatalkan hasrat berkenaan.

Mereka berpendapat perhimpunan yang dirancang di beberapa lokasi tumpuan ramai itu tidak perlu diadakan kerana boleh menimbulkan suasana tidak sihat, menggugat keamanan serta memberi kesan negatif terhadap usaha pemulihan ekonomi negara.

Sebagai ganti, penganjur dicadangkan menggunakan saluran lebih sesuai termasuk menghantar memorandum dan menemui pihak berkuasa bagi menyatakan ketidakpuasan mereka.

Selain itu, menurut mereka, kerajaan sudah menyatakan kesediaan mengkaji ISA dan semua pihak sepatutnya menunggu tindakan lanjut kerajaan selain memberikan pandangan dan cadangan mengikut saluran yang dibenarkan oleh undang-undang.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kongres yang mewakili 1.2 juta kakitangan awam yakin ada saluran lebih tepat untuk menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dasar kerajaan.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sentiasa membuka pintu rundingan bagi memastikan tiada pihak yang terpinggir dan perhimpunan sama ada menyokong atau membantah ISA akan menggugat keamanan ketika ekonomi negara sedang pulih.

Perhimpunan membantah ISA akan dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diterajui pemimpin parti pembangkang. Perhimpunan menyatakan sokongan pula membabitkan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) yang menaungi beberapa NGO, termasuk Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris).

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Khalid Atan, berkata perhimpunan tidak perlu diadakan kerana ia mengundang pertelagahan dan keganasan akibat ketegangan tidak terkawal.

"Sama ada menyokong atau membantah, ia akan mengundang suasana tidak sihat. Kedua-dua pihak harus menyelesaikan masalah menerusi meja rundingan. Jangan terlampau mengikut perasaan dan emosi kerana ia tidak boleh menyelesaikan sebarang masalah," katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Loke Yim Pheng, berkata pihaknya yakin hanya meja rundingan yang mampu menyelesaikan masalah kerana demonstrasi boleh mencetuskan ketegangan dan memberi kesan negatif kepada imej negara.

Beliau yakin tiada guru yang terbabit dalam perhimpunan menyokong atau membantah ISA kerana ia tidak membabitkan sebarang isu perkhidmatan perguruan.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Bekas Tentera Malaysia, Datuk Mohd Nordin Mohamad, pula berkata kedua-dua pihak perlu menilai pentadbiran Perdana Menteri yang membuat banyak perubahan.

"Kerajaan kata akan meminda ISA dan kita sepatutnya menunggu serta melihat kajian dan pelaksanaannya kelak. Apa yang pasti sama ada kerajaan mansuh atau pinda, ia tidak dibuat sewenang-wenangnya.

"Mungkin ada pihak tertentu yang mendapat sokongan luar yang berani menganjurkan perhimpunan yang hanya memberi manfaat kepada satu pihak, manakala pihak lain menerima kesan negatif," katanya.

Naib Pengerusi Biro Korporat Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Mohamad Sahar Mat Din, berkata kedua-dua pihak perlu rasional supaya ketegangan kesan daripada perhimpunan haram tidak memberi kesan kepada peniaga.

"Perhimpunan tidak menguntungkan semua pihak. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan sistem ekonomi yang kukuh bagi membantu semua kelompok perniagaan daripada peniaga kecil, penjaja mahupun ahli korporat. Kerajaan perlu memastikan kestabilan ekonomi dan politik yang berterusan," katanya.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India, P Muguntha, berkata ketika krisis ekonomi global dan wabak Influenza A (H1N1), negara sepatutnya memberi tumpuan kepada langkah pemulihan ekonomi dan membendung penyakit berbahaya itu.

"Tidak guna kita terlalu fokus untuk memansuhkan ISA kerana bukan semua 27 juta penduduk Malaysia menjadi tahanan mengikut akta itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan