Khamis, 30 Julai 2009

Mahkamah Penuh Sesak

Suasana di luar kamar Mahkamah Majistret 5 yang bersidang sebagai Mahkamah Koroner untuk prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Teoh Beng Hock, sesak dengan kehadiran kira-kira 100 jurugambar dan wartawan dari dalam dan luar negara.

Kebanyakan mereka selain orang awam sudah berkumpul di luar kamar mahkamah seawal jam 6 pagi semalam kerana tidak mahu ketinggalan mengikuti prosiding berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan di luar mahkamah terkawal, walaupun jurugambar sibuk cuba merakamkan gambar saksi, timbalan pendakwa raya dan peguam yang hadir pada prosiding untuk mencari punca kematian Teoh, 30, yang ditemui mati di koridor tingkat lima, bangunan Plaza Masalam, pada 16 Julai lalu.

Ahli keluarga Teoh, termasuk bapanya, Teoh Leong Hwee, 62; abang Teoh, Beng Kee, 33, dan adik; Lee Lan, 29 serta tunang, Soh Cher Wei, 28, tiba jam 8.05 minit pagi sebelum dibawa masuk ke bilik saksi.

Pada jam 8.15 pagi, timbalan pendakwa raya dan peguam yang terbabit dalam inkues mula tiba di mahkamah.

Berbeza dengan situasi sehari selepas mayat Teoh ditemui di bangunan Plaza Masalam, yang juga menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tiada kumpulan yang membawa sepanduk.

Bagaimanapun, beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) turut hadir.

Kira-kira 40 pas pemberita dikeluarkan polis mahkamah untuk membolehkan pemberita membuat liputan dalam kamar mahkamah yang hanya boleh menempatkan kira-kira 60 orang.

Malah, ruang kosong antara kedua-dua kamar Mahkamah Majistret 4 dan 5 yang dijadikan bilik saksi juga sesak dan tidak mampu menampung 80 daripada 89 saksi inkues yang hadir sehingga menyebabkan sebahagian saksi SPRM terpaksa duduk di luar bilik itu dan terdedah kepada lensa jurugambar.

Lee Lan yang ditemui di lobi kompleks mahkamah berkata, keluarganya tetap mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja menyiasat punca kematian Teoh.

Katanya, walaupun mereka menghargai tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudi bertemu dengan keluarganya, kelmarin, mereka berharap bidang kuasa Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan itu lebih meluas, bebas dan telus.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan