Rabu, 29 Julai 2009

DNA Lelaki Misteri Pada Baju, Tali Pinggang Teoh

Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang Ahli Exco Selangor, diberitahu hari ini bahawa satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Identiti lelaki itu belum dikenal pasti walaupun contoh sampel DNA daripada 102 individu terbabit telahpun diambil oleh Jabatan Kimia, kata peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik membantu mengendalikan inkues bagi pihak kerajaan, ketika prosiding itu disambung semula pada jam 11.45 pagi tadi di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas.

Katanya lima sampel telah diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu.

Satu daripada DNA itu dikenal pasti sebagai DNA Teoh, yang berpadanan dengan spesimen darahnya, manakala satu lagi pemilik DNA tidak diketahui.

DNA lelaki misteri itu turut ditemui pada bahagian tali pinggang yang dipakai Teoh, yang bercampur aduk dengan DNA mendiang.

"Sampel daripada 102 individu telah diambil bagi menentukan sama ada DNA mereka ini sepadan dengan DNA yang tidak diketahui itu. Laporan bagi 90 individu telah siap, sementara 12 lagi belum diperoleh.

"Saya turut dimaklumkan oleh Pegawai Penyiasat bahawa terdapat dua orang yang enggan memberikan sampel DNA mereka," kata Tan.

Gobind Singh Deo, yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Teoh, menggesa pihak pendakwaan supaya memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui tersebut.

"Inilah salah satu sebab lagi mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," kata Gobind.

Tan menjawab : "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."

Terdahulu Gobind membuat permohonan kepada mahkamah supaya inkues hari ini ditangguhkan sekurang-kurangnya 10 hari bagi membolehkan mereka meneliti segala laporan yang diterima berkaitan kes itu.

Katanya prosiding itu perlu ditangguhkan sementara menunggu jawapan daripada Perdana Menteri berhubung permintaan supaya isu kematian Teoh diputuskan dalam Suruhanjaya Diraja yang akan menjalankan siasatannya nanti.

"Keluarga si mati menghadiri prosiding ini dengan protes. Protes bukan bererti hendak menghina mahkamah tetapi untuk menyampaikan pendirian kami bahawa kami berharap isu kematian Teoh Beng Hock diputuskan dalam Suruhanjaya Diraja.

"Jika Perdana Menteri bersetuju maka prosiding inkues ini tidak perlulah dijalankan," kata Gobind.

Beliau turut mempersoalkan mengapa ahli keluarga Teoh tidak diberikan notis pemberitahuan prosiding inkues itu seperti diperuntukkan dalam garis panduan inkues di bawah arahan amalan Nombor Satu tahun 2007.

Garis panduan itu menetapkan supaya suatu notis pemberitahuan prosiding inkues diberikan kepada ahli keluarga si mati untuk memberitahu butir-butir di mana dan bila prosiding itu akan dilakukan, sekurang-kurangnya dua minggu dari tarikh kematian.

Di luar mahkamah, Gobind mengulas mengenai dua individu yang enggan memberikan sampel DNA mereka, dengan berkata: "Saya tak tahu siapa mereka ini. Saya sekadar boleh membuat andaian kerana dua orang datang berjumpa saya hari ini dan memberitahu bahawa mereka disuruh ke balai. Seorang daripada mereka ialah Tan Boon Wah, seorang Ahli Majlis Perbandaran Kajang, tetapi seorang lagi saya tak kenal.

"Bukan tidak mahu bekerjasama tetapi mereka tidak sempat memandangkan mereka perlu hadir ke mahkamah hari ini."

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan