CHINA DOLL’ sanggup kahwin dengan lelaki tempatan untuk jadi pelacur di negara ini.
Eksploitasi Akta Imigresen yang memberikan pas lawatan sosial kepada wanita warga asing yang berkahwin dengan lelaki tempatan untuk membolehkan mereka berada di Malaysia selama setahun.
Jika masuk sebagai pelancong biasa tempoh yang dibenarkan untuk tinggalkan di negara ini hanya tiga bulan.Dalam serbuan Imigresen di Pulau Pinang, 14 wanita warga China yang disyaki pelacur mempunyai suami di negara ini.
Kesemuanya memiliki sijil kahwin untuk membuktikan perkahwinan dengan suami masing-masing.
‘China Doll’ iaitu gelaran untuk wanita warga China yang terbabit dengan sindiket pelacuran di negara ini kini semakin berani termasuk sanggup berkahwin dengan lelaki tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Tujuan mereka berkahwin tidak ikhlas, sebaliknya hanya untuk dijadikan platform supaya boleh tinggal lebih lama di Malaysia bagi tujuan pelacuran.
Melalui perkahwinan itu, golongan tersebut boleh tinggal selama setahun di negara ini melalui pemberian pas lawatan sosial jangka panjang.
Peruntukan itu terdapat di bawah Akta Imigresen, malah ia boleh diperbaharui setiap tahun sekiranya tamat tempoh. Berbanding sebagai pelancong, wanita warga China hanya boleh tinggal tidak lebih tiga bulan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Abdul Rahman Othman yang bimbang dengan trend terbaru sindiket pelacuran itu.
Katanya, perkara itu ada asasnya apabila dalam serbuan di dua buah pusat hiburan di Pulau Pinang baru-baru ini, semua 14 wanita negara tersebut yang disyaki pelacur mempunyai suami di negara ini.
“Mereka (sindiket) kini berani mengeksploitasi Akta Imigresen. Kesemuanya memiliki sijil perkahwinan sah untuk membuktikan perkahwinan dengan suami masing-masing.
“Kita juga telah hubungi ‘suami’ masing-masing dan mereka datang dan mengakui berkahwin dengan wanita-wanita itu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kata Abdul Rahman, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan terpaksa membebaskan wanita-wanita berkenaan kecuali dapat membuktikan mereka menawarkan khidmat seks.
“Perkembangan itu membimbangkan kita kerana ditakuti akan menjadi ikutan sindiket-sindiket lain.
“Taktik baru ini menunjukkan sindiket pelacuran semakin bijak bermain dengan undang-undang negara,” ujar beliau.
Bagaimanapun setakat ini, imigresen belum dapat membuktikan sama ada ‘suami’ kepada wanita warga asing tersebut diupah untuk perkahwinan itu.
Ketua Jabatan Pengaduan Awam dan Perkhidmatan MCA, Datuk Michael Chong ketika ditemui berkata, jika dahulu suami menjadikan isteri sebagai mangsa pelacuran, kini keadaan sudah berubah.
Katanya, sebelum ini, beliau pernah mengendalikan masing-masing satu kes wanita warga China dan Vietnam yang dipaksa suaminya menjadi pelacur.
“Kalau ada wanita menjadi mangsa, begitu juga berlaku sebaliknya sekarang. Ada berpura-pura berkahwin tetapi sebenarnya untuk terlibat dalam pelacuran tanpa pengetahuan suami dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata, sehubungan itu, pihaknya meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara tersebut bagi mengelakkan Akta Imigresen disalah guna.
“Kelonggaran diberikan negara ini kepada rakyat yang berkahwin dengan warga asing menunjukkan keprihatinan kerajaan tetapi malangnya ia telah dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Jikalau dahulu ramai mengadu kesukaran pasangan mereka untuk menetap di negara ini, namun apabila kelonggaran diberi, ia disalah guna pula,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan