Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengalu-alukan tindakan beberapa pihak yang bersedia menjadi saksi dalam membuktikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu.
Menurutnya, sesiapa saja yang mempunyai bukti kukuh mengenai perkara itu sepatutnya bersedia menjadi saksi di mahkamah jika Anwar meneruskan samannya terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Jika mereka ada bukti, kenapa tidak (mahu jadi saksi?)," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia Kali Ke-3 di sini semalam.
Beliau mengulas isu tuntutan saman Anwar terhadap Muhyiddin yang menyifatkan Ketua Pembangkang itu sebagai pengkhianat Melayu berikutan beberapa tindakannya sebelum ini.
Kenyataan Muhyiddin itu disokong beberapa individu termasuk bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd. Nor, yang menyatakan kesediaannya menjadi saksi utama dalam kes tersebut.
Dalam laporan akhbar ini hari ini, kata Ezam, Anwar pernah menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi mendapatkan undi kaum Cina dan India.
Dr. Mahathir menambah, beliau percaya Anwar akan menggunakan apa sahaja cara untuk kepentingan kerjaya politiknya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menegaskan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih diperlukan di negara ini terutama bagi mengekang unsur yang menyemarak kebencian kaum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan