Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) semalam memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM920 juta terhadap kontraktor siap guna untuk Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan penasihat projek yang dilantik, BTA Architect kerana didakwa membuat tuntutan tidak munasabah bagi projek berkenaan.
Pengerusi, LPK Datuk Lee Hwa Beng memfailkan saman itu sendiri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, kira-kira jam 11 pagi.
Bagaimanapun, beliau enggan memberikan salinan kedua-dua saman itu kepada media.
Dalam kenyataan diedarkan kepada media, saman itu antara lain menuntut perjanjian dan deklarasi mengenai projek berkenaan dikaji semula bagi membolehkan bayaran setimpal dibuat kepada KDSB untuk kerja pembangunan PKFZ dan meminta mahkamah mengisytiharkan notis arahan pembayaran yang dikeluarkan PKFZ tidak sah serta terbatal.
LPK juga memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan bagi pembayaran kepada KDSB untuk kerja bekalan air, longkang dan projek tambatan banjir berjumlah RM837 juta.
Selain itu, LPK memohon mahkamah mengeluarkan perintah supaya kerja pembangunan yang sedang dijalankan KDSB dipantau syarikat perunding bebas yang dilantik mahkamah.
LPK juga menuntut KDSB selaku pemaju utama PKFZ membayar kos bagi kerja membaiki semula projek yang tidak disiapkan dengan sempurna berjumlah RM34 juta, ganti rugi kerana gagal menyiapkan ruang meletak kenderaan setinggi empat tingkat serta faedah dan kerosakan lain yang difikirkan perlu oleh mahkamah.
Bagi penasihat projek yang dilantik untuk memantau kerja pembangunan PKFZ, BTA Architect, LPK menuntut ganti rugi kerana didakwa salah guna kuasa dan cuai dalam melaksanakan tugas.
Dalam saman yang difailkan itu, LPK turut menuntut mahkamah membatalkan perjanjian menaikkan kadar faedah dari 5 peratus sehingga 7.5 peratus setahun yang ditandatangani pada April 2006 di antara LPK dan KDSB.
Bercakap kepada pemberita, Lee berkata, LPK memfailkan saman sebanyak RM1.64 bilion terhadap KKSB dan BTA Architect termasuk tuntutan berjumlah RM720 juta, minggu lalu.
Beliau tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tuntutan ganti rugi yang akan difailkan terhadap kedua-dua pihak itu jika ada keperluan.
"Kita berharap tuntutan ini dapat mengurangkan beban LPK untuk membayar hutang kepada kontraktor," katanya.
KDSB adalah pemaju yang dilantik LPK pada 2003 bagi membangunkan PKFZ di tapak seluas 405 hektar bersebelahan Pelabuhan Utara di Klang.
Syarikat itu menjadi tumpuan baru-baru ini berikutan didakwa mengenakan caj berlebihan terhadap LPK bagi projek PKFZ, menyebabkan lembaga itu dan projek berkenaan menanggung kerugian.
Laporan audit mengenai projek PKFZ yang dibuat atas arahan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, turut menamakan KDSB antara pihak yang dipersalahkan terhadap kegagalan PKFZ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan