Selasa, 7 Januari 2014

Buat Kerja Atau Keluar, Amaran Lim Guan Eng Kepada Ahli Majlis

Buat kerja anda, atau keluar dari sini.  Itu adalah amaran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kepada ahli majlis Majlis Perbandaran Pulau Pinang ketika salah seorang daripada mereka didapati hampir tertidur dalam upacara angkat sumpah semalam.
Lim berkata, beliau ternampak seorang ahli majlis baru yang kelihatan mengantuk beberapa minit sebelum upacara berlangsung.
"Saya rasa ini bukan satu permulaan yang bagus.
"Saya tidak mahu mengeluarkan amaran, tetapi kita semua berharap sifat profesionalisme ahli majlis tidak akan dipertikai apabila kita baru sahaja menaikkan elaun maksimum mereka kepada RM3,000.
"Jangan bermain-main dengan rakyat, yang mengharapkan ahli majlis dapat menjalankan tugas mereka dengan sebaik mungkin," katanya ," katanya ketika berucap di majlis angkat sumpah di Georgetown.
Beliau berkata, harapan rakyat kini makin tinggi kerana ini adalah penggal kedua Pakatan Rakyat di Pulau Pinang.
Lim berkata, beliau tidak lagi mahu mendengar sebarang aduan berhubung ahli majlis enggan menjawab panggilan telefon.
Beliau turut menasihatkan mereka bekerja dengan baik di bawah arahan presiden majlis perbandaran, Datuk Patahiyah Ismail dan pengerusi Jawatankuasa kerajaan negeri, Chow Kon Yeow.
Katanya, ahli  majlis diingatkan bahawa pangkat mereka tidak melebihi presiden majlis perbandaran.
"Jika prestasi anda sebagai ahli majlis pebandaran disemak serta didapati bersalah oleh Patahiyah, jangan sesekali mengharapkan yang anda akan diterima semula.
"Jawatan anda boleh diberhentikan sebelum tempoh tamat. Jadi jangan fikir bahawa kami tidak serius," katanya.
Lim berkata, semua 24 ahli majlis termasuk lima ahli baru diingatkan supaya tidak mengharapkan sebarang keistimewaan daripada jawatan mereka.
"Kita mahu lihat kerja diselesaikan dan prestasi yang lebih baik untuk menjadikan Georgetown bandar paling bersih, paling hijau serta bandar paling sihat di Malaysia," katanya.
Lim pada sidang media memberitahu wartawan bahawa ahli majlis tidak dibenarkan untuk memegang sebarang jawatan kerajaan supaya mereka boleh fokus dalam tugas mereka.
Sebelum ini, ahli majlis diberi elaun sebanyak RM700 sebulan, RM60 untuk menghadiri satu mesyuarat dengan hanya 10 mesyuarat  sahaja dibayar menjadikan jumlah pendapatan bulanan mereka sebelum ini hanya RM1,300.
Kini, elaun biasa mereka adalah RM1,500 sebulan sementara elaun mesyuarat RM100 setiap satu dengan maksimum 12 mesyuarat dan turut diberikan elaun komunikasi sebanyak RM300 menjadikan jum elaun mereka terkini adalah RM3,000.
Sementara itu, Chow berkata, penggal seterusnya mulai Januari tahun depan, parti dalam PR di peringkat kawasan Parlimen akan mencalonkan satu wanita di antara empat calon untuk jawatan ahli majlis.
Beliau berkata, jika parti di setiap kawasan Parlimen mencalonkan satu wanita, majlis perbandaran akan mempunyai lebih calon wanita yang boleh mereka pilih.
Untuk penggal ini, hanya ada dua ahli majlis wanita.
Awal bulan ini, exco wanita negeri, Chong Eng dan wakil rakyat wanita dalam negeri ini  mempertahankan hak wanita dalam politik serta mengatakan tidak seharusnya ada monopoli daripada segi jantina.
Beliau dan rakan-rakannya meminta 30% kuota wanita di semua peringkat sama ada negeri atau  Parlimen.
Mereka berkata, ini adalah batu loncatan yang sesuai untuk melatih wanita dalam kerjaya politik dan berkhidmat kepada rakyat di majlis perbandaran sebagai ahli majlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan