by :
Sumber : TemanHidup@yahoogroups.com
TemanHidup-subscribe@yahoogroups.com
ke mana jiwa ummah hendak di bawa?
Antara tanggungjawab ibu bapa ke atas anak-anak adalah memberikan mereka nama yang baik. Antara nama yang baik dan elok adalah nama-nama yang disandarkan kepada Asmaul Husna, misalnya Abdur Rahman, Abdul Karim, Abdul Mujib dan sebagainya. Begitu juga nama para Anbiya’, Sahabat-sahabat Nabi dan orang-orang soleh.
Pentingnya kebaikan pada sebuah nama adalah kerana ia menggambarkan kemuliaan orang atau perkara yang dinamakan. Begitu juga, ia merupakan satu doa.
Saya kerapkali berfikir untuk menamakan anak saya nanti dengan nama yang ringkas dan pendek, tetapi mempunyai maksud yang baik.
Orang melayu biasalah, kadangkala namanya dah cukup baik, tetapi kerana disingkatkan, maksud pada nama tersebut hilang entah ke mana.
Khatijah dipanggil katty, Maryam dipanggil marry, Muhammad dipanggil mamat atau mat. Begitulah seterusnya.
KAEDAH
Namun begitu, isu nama sebenarnya tidaklah sebesar isu apa yang dinamakan. Bermakna, kebaikan itu secara dasarnya akan jatuh kepada orang atau perkara yang dinamakan.
Muhammad kalaupun dipanggil mamat, tetapi merupakan seorang yang soleh, tetap tinggi darjatnya di sisi Allah. Begitu juga seorang muslim bernama Lim, Ravi atau Richard. Tidak ada masalah.
Hukum juga begitu. Kaedah Fiqh menyebut ; sesuatu hukum dikira pada benda yang dinamakan dan bukannya pada nama tersebut.
Contohnya sebuah negara. Bagaimana sebenarnya sebuah negara yang dikehendaki oleh Islam?
Adakah perlu negara tersebut dinamakan dengan Darul Islam, atau Daulah Islamiah , atau diisytihar sebagai Negara Islam bagi membolehkannya menepati kehendak Allah Baldatun Thoyyibah wa Rabbun Ghafur ?
Tidak.
Jika sesebuah negara tidak dinamakan dengan nama-nama sedemikian sekalipun, tetapi di dalamnya terdapat pemerintahan yang benar-benar menjunjung Al-Quran dan Sunnah serta menepati ciri-ciri sebuah negara yang dituntut oleh Islam, maka sebenarnya adalah sebuah negara Islam.
Biarpun namanya Negara Berkebajikan.
Ia tidak lari dari konsep Negara Islam yang sebenar, kerana negara Islam atau daulah Islamiah itu sendiri sebenarnya adalah sebuah negara yang mengutamakan konsep kebajikan. Jadi tidak ada masalah pada nama.
Tahajud Jiwa, Taubat Cinta, Sejadah Munajat, Istikharah Cinta Dan Pelbagai lagi.
Saya tidak pernah meminati sebarang filem atau cerita yang mempunyai mirip nama seperti di atas.
Bukan saya tidak mahu menyokong filem Islamik, tetapi mungkin kerana saya jarang sekali dapat melihat konsep Islamik itu dijunjung dengan bersungguh-sungguh dalam filem sedemikian.
Banyaknya datang dari Indonesia.
Sekali muncul, bagai tsunami yang sangat hebat. Menyentap hati dan jiwa anak-anak muda untuk mencari cinta Islamik.
Cinta yang bersih, jauh dari dosa dan noda. Ada kebaikan yang besar di situ.
Malangnya, tidak banyak yang sampai ke tahap sebegitu.
Banyak dari filem sedemikian seolah menggunakan nama berbaur Islamik itu sebagai modal untuk menarik minat anak-anak muda yang berjiwa dakwah dan yang mempunyai minat yang tinggi kepada Islam. Sasaran ini seolah diletak dengan baik bagi meraih kejayaan filem mereka.
Selepas satu filem, satu cerita, satu lagi filem dan cerita lain menyusul.
Dalam masa yang sama, konsep sebenar Islam itu tidak pula diperhalusi dengan baik.
Barisan pelakon yang dipilih untuk menggerakkan filem, kebanyakannya sekadar menjadi pelakon dan sememangnya, mereka ‘berjaya’ menjadi pelakon.
Filem berjaya meraih kutipan yang tinggi, popular, pecah panggung dan sebagainya, tetapi kesedaran Islam kepada setiap pelakon pula bagaimana?
Adakah mereka yang dipilih untuk menggerakkan filem itu dianjurkan menyertai kursus agama terlebih dahulu?
Setidak-tidaknya, sebelum mereka bergerak sebagai ‘kader dakwah’ menerusi filem Islamik, mereka telah terlebih dahulu mencuba sedaya upaya memperbaiki diri mereka, membersihkan hati, mengikhlaskan niat dan sebagainya.
Mungkin ini kedengaran agak lucu, tetapi hakikatnya, jika sesuatu filem itu meletakkan HIDAYAH kepada penonton sebagai matlamat, maka apa yang dinyatakan di atas merupakan antara perkara-perkara yang akan mereka laksanakan.
Melainkan, sasarannya cuma untuk meraih perhatian , menarik penonton dan bersifat komersial semata-mata, maka apa yang dinyatakan di atas sudah tentu merupakan lawak jenaka sahaja bagi mereka.
Penonton pula jiwanya lembut dan lunak dengan Islam. Menonton filem dan cerita berbaur Islamik sedemikian, berjujuran air mata mereka, hingga terbawa-bawa dalam mimpi, terbawa-bawa dalam solat dan doa.
Pelakon yang membintangi filem pula menjadi pujaan kerana kecantikan dan keelokan rupa paras mereka.
Fikirkan, bagaimana perasaan para penonton ini tatkala melihat ‘hero dan heroin dakwah’ mereka yang begitu sopan dan ayu bertudung itu sebenarnya tersangatlah seksi, pakaiannya cukup sendat dan bergambar lelaki perempuan rapat-rapat? Tidakkah mereka terasa diperbodohkan?
Justeru pada saya, diperbodohkan oleh filem yang namanya ala-ala Islamik merupakan satu perkara yang sangatlah malang. Kita bukan mahukan nama pada filem.
Kita mahukan faedah, iktibar dan manfaat terutama sekali kepada jiwa dan hati kita.
Kita berharap, agar sesuatu filem atau cerita yang kita tonton, mampu menyuntik hidayah dan menghidupkan hati-hati kita.
Maka perlulah kita tapis dengan lebih teliti. Nama yang Islamik sahaja, belum tentu ‘selamat’ untuk ditonton.
KOMEN
Mungkin ramai yang akan membantah.
Mungkin ramai juga berpendapat, biarlah, sekurang-kurangnya ada juga filem Islamik di pasaran. Sekurang-kurangnya ada juga pilihan untuk kita daripada filem lain yang jelas tidak menutup aurat dan tidak ada konsep Islamik langsung.
Terpulanglah. Sama juga dengan Islamic Fashion Show. Boleh juga kita kata, lebih baik ada daripada hanya fesyen-fesyen barat yang menjadi sasaran.
Namun pada saya, kedua-duanya sama sahaja. Islam itu perlu diambil semua dan secara menyeluruh. Ambil sedikit-sedikit seolah menunjukkan kita mahu bermain-main dengan agama.
Salah satu daripada ciri-ciri khusus Islam itu adalah Inqilabiyyah, bermaksud terbalik. Objek yang di atasnya hitam dan di bawahnya putih, harus diterbalikkan bagi membolehkah putih berada di atas dan hitam berada di bawah. Bermakna, mustahil hitam dan putih itu boleh berada di atas dalam satu masa yang sama.
Ini selaras dengan Firman Allah : ” Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh “
Contohnya mudah. Satu pertunjukan fesyen namanya Islamik Fashion Show, dan orang yang memperagakan fesyen itu memakai tudung dengan kebaya yang sendat, kainnya sedikit terbelah.
Satu lagi pertunjukan fesyen namanya Global Fashion Show, dan orang yang memperagakan fesyen itu tidak memakai tudung, ‘berkemban’ dan kain separas peha.
Terpulanglah. Ada yang menganggap antara dua pertunjukan itu, ada beza. Tetapi pada saya, sama sahaja. Maka, kiaskanlah sendiri dengan fenomena filem yang saya tulis di atas.
ALTERNATIF
Benar, dalam mengkritik perlu disuakan alternatif. Mengkritik sahaja tanpa memberi cadangan samalah dengan penonton pasukan bola sepak. Sembang berdegar-degar, maki mencarut semua keluar, tetapi sedikit pun tidak ada manfaat pada pemain bola.
Jadilah seperti pengurus pasukan bola. Geram, marah dan tidak puas hati tetap ada. Tetapi akalnya ligat memikirkan langkah dan strategi demi kemajuan dan kebaikan pemain bola.
Industri Filem hari ini sangat parah dalam menghasilkan filem bergenre dakwah yang benar-benar berupaya ‘merealitikan’ Islam dalam masyarakat. Mungkin juga, perkara ini berpunca dari asas kefahaman kepada Islam itu sendiri.
Masyarakat kita masih ramai bermentaliti, hendak menjadi ‘baik’ dan ‘islamik’ , maka kena pakai kopiah atau tudung.
Sebab itu, kalau hendak ke masjid kena pakai kopiah dan tudung, kalau ada majlis kematian, majlis tahlil dan doa selamat, waktu itu kena pakai kopiah, songkok atau tudung. Selain dari tempat-tempat tersebut, tidak boleh atau tidak perlu pakai.
Membuat filem juga begitu. Kalau nak jadikan filem itu Islamik, maka namanya kena ada unsur-unsur bahasa arab, tahajjud ke, istikharah ke, munajat ke, kemudian tambah dengan perkataan cinta. Jadi filem itu automatiknya bertukar menjadi Islamik.
Sedangkan Islam tidak begitu. Islam tidak hanya bercerita tentang nama semata-mata. Islam menekankan tentang benda yang dinamakan.
Biarlah filem itu namanya tidak Islamik sekalipun, tetapi mesej dan pedoman dalam filem tersebut cukup besar memberi impak pada masyarakat.
Ternyata, dalam bab-bab ini Industri Filem kita masih lemah. Kita masih terperangkap dengan filem-filem aksi ala gangster, filem hantu, khurafat, tahyul dan filem cinta berbaur Islamik yang bersifat lakonan semata-mata.
Maka sebagai alternatif, golongan muda yang berjiwa dakwah khususnya yang berkecimpung dalam bidang berkaitan perfileman atau lakonan, ataupun produser filem sedia ada, berusahalah menghasilkan filem yang konsisten membawa mesej Islam itu sendiri, dan bukannya berlumba-lumba menghasilkan filem berjudul Islamik semata-mata.
Contohnya, Islam menekankan tentang penjagaan maruah. Seorang suami bertanggungjawab menjaga maruah diri dan isterinya, begitu juga ayah bertanggungjawab menjaga maruah anak-anaknya.
Kehebatan Islam terserlah apabila meletakkan syarat bermusafir bagi wanita tanpa mahram, mengangkat martabat wanita dengan kemuliaan, dan meletakkan tanggungjawab sebagai ketua ( sifat qawwamah ) ke atas lelaki.
Sebuah filem yang berjaya menghuraikan konsep di atas dan dikaitkan dengan kebaikan ajaran Islam itu sendiri, sebenarnya telah berjaya membawa mesej dakwah kepada masyarakat. Mesej itu jauh lebih penting berbanding namanya.
impak sesebuah filem dinilai pada mesej yang dibawa
Supaya lebih jelas, saya menyarankan anda khususnya lelaki menonton filem berjudul ‘ Taken ‘ yang sebenarnya bukanlah satu filem yang baru.
Saya sendiri telah menonton filem ini berpuluh-puluh kali. Setiap kali menonton filem ini, saya memperoleh ibrah dan mesejnya dengan jelas.
Kisah seorang anak yang bermusafir tanpa mahram, akhirnya terjebak dengan sindiket perdagangan manusia dan kesungguhan seorang bapa menyelamatkan anaknya benar-benar menyuntik motivasi dan merangsang kesedaran.
Pada saya, filem sebegini seribu kali lebih baik untuk ditonton dari filem bernama Islamik, tetapi langsung tidak ‘selamat’ untuk ditontoni.
Sekian.
Salam alaik...
BalasPadamAlhamdulillah, satu perkongsian yang membina.
Harap sama2 mendapat manfaatnya...
BalasPadam