Sabtu, 26 September 2009

Pas Nafi Kaji Kedudukan Dalam Pakatan

Naib Presiden Pas Pusat, Salahuddin Ayub, berkata Pas tidak pernah membuat keputusan untuk mengkaji semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) pada semua peringkat.

“Oleh kerana Pas tidak pernah membuat keputusan sedemikian, perkara itu tidak timbul dan tidak harus ditimbulkan,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yang dipetik daripada media rasmi parti Harakahdaily.net, semalam.

Beliau berkata, Pas tetap dengan komitmen untuk bersama PR.

“Jika ada masalah yang berlaku, ia perkara biasa. Dalam keluarga dua tiga orang pun ada masalah, apa lagi pakatan yang besar,” katanya.

Semalam akhbar ini melaporkan Pas Selangor sedia meneliti secara terperinci saranan pemimpin PR supaya parti itu mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan berkenaan berikutan pendirian Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang mahu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dirombak.

Pada masa sama, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman, mempertahankan pendirian Pesuruhjaya Pas negeri itu yang mempertikaikan kewibawaan ahli panel Selcat dan mencadangkan jawatankuasa itu dianggotai golongan profesional yang tiada kepentingan politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan