Ahad, 2 Ogos 2009

Penjawat Awam Terbabit Demonstrasi Boleh Dikenakan Tindakan: Cuepacs

Ketua jabatan boleh mengambil tindakan disiplin terhadap penjawat awam yang mengambil bahagian dalam perarakan dan perhimpunan membantah pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kuala Lumpur, semalam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata tindakan tegas boleh diambil mengikut peraturan yang ada, sama ada Perintah Am atau akujanji yang ditetapkan sebelum ini.

Beliau berkata, mengikut Perintah Am dan akujanji, seseorang penjawat awam adalah dilarang melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang dan perlu mematuhi perintah-perintah tetap kerajaan.

"Untuk itu perintah-perintah tetap yang dikeluarkan oleh kerajaan adalah jelas dan perlu dipatuhi oleh setiap warga pekerja dan sekiranya berlaku pengabaian tugas boleh dikenakan tindakan tatatertib," katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas kemungkinan ada penjawat awam terbabit dalam demonstrasi perlu dikenakan tindakan.

Kira-kira 10,000 orang menyertai perarakan Gerakan Mansuh ISA (GMI) di beberapa lokasi di ibu negara semalam. Polis menahan 589 orang termasuk 44 remaja di bawah umur 18 tahun yang mempunyai kaitan dengan perhimpunan dan perarakan itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan