Rabu, 10 November 2010

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”. Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.

Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.

Pemimpin Dan Solat

Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.

Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”

Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.

Pemimpin Dan Zakat

Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.

Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.

Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.

Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar

Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.

Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)

Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).

Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.

Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.

Berhati-hati Memilih Pemimpin

Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.

Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman, “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”

Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.

Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin

fazura ooo fazura...

Ouch, hilang sudah level hotness aktres Fazura yang baru sahaja dicalonkan dalam Shout! Awards 2010 untuk kategori Hot Chicks Awards. Cuaca Malaysia yang panas meningkatkan lagi kadar pengumpulan air ketiak Fazura sehingga basah baju, lantas kantoi dengan abang kamera.

Mungkin juga Fazura lupa nak pakai deodorant Avon.

Lagi gambar kantoi selepas ini
Dan, apa kes kaki Fazura banyak sangat kesan gigitan nyamuk? Baru balik shooting dari hutan, mungkin?
Namun, Fazura masih kelihatan sangat cantik dari sudut pandangan tepi, masih kekal awesome & gorgeous.

Sains Islam Dan Sains Barat

Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah, “Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience.” 

Ia bermaksud, “Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif.” 

Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. 

Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini.

Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, “Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia.” Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom.


Keterbatasan Sains


Islam memberi kebebasan kepada para saintis untuk mengkaji, namun ia menyedari keterbatasan intelek yang dimiliki manusia. Justeru, sains Islam menjadikan wahyu sebagai sumber rujukan yang tertinggi. Dalam erti kata yang lain, dalam Islam, wahyu mengatasi akal kerana wahyu datang daripada kuasa tanpa batas sedangkan akal terbatas. Sains tidak boleh mengatasi wahyu. Apa-apa konklusi yang bercanggah dengan dasar-dasar wahyu dianggap sebagai konklusi sains yang salah dan apa-apa yang selari dengannya bolehlah diterima. Dalam hal ini Allah berfirman dalam surah al-Jathiyah ayat 20, “Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.”


Justeru, sains dalam Islam ialah sains yang berkonsepkan tauhid. Sains dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip yang ditetapkan Allah melalui rasulnya. Sains dalam Islam tunduk kepada al-Quran.


Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U.S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains.” Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999.


Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika.


Matlamat dan Metodologi Sains


Dalam Islam, sains mempunyai matlamatnya. Matlamat jangka pendek ialah mengenali hakikat kejadian alam serta manusia dan memanfaatkan ilmu itu untuk kebaikan semua. Sebagai contoh, melalui sains kita mengetahui bahawa seks kromosom lelaki menentukan kejantinaan seseorang bayi, kejadian bayi bermula dengan persenyawaan antara sperma lelaki dan ovum wanita, kejadian bumi berlaku selepas kejadian bintang-bintang di langit dan yang seumpamanya. Namun akhirnya yang menjadi keutamaan ialah matlamat jangka panjang iaitu mengagungkan dan membesarkan Allah. Hal ini terserlah dalam surah al-Mukminun ayat 14 yang bermaksud, “Kemudian Kami menjadikan benih nuthfah itu alaqah. Kemudian daripada alaqah Kami jadikan mudghah. Kemudian daripada mudghah Kami jadikan tulang dan Kami tutup tulang itu dengan daging. Kemudian Kami jadikannya makhluk berbentuk lain. Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Perhatikanlah ayat ini dengan baik. Selepas Allah menceritakan fasa-fasa kejadian bayi (dan hal ini dapat disahkan oleh sains), Allah mengakhiri ayat itu dengan ungkapan, “Maha suci Allah, sebaik-baik Pencipta.” Inilah matlamat asasi sains, iaitu untuk mengagungkan Allah.


Untuk mencapai matlamat ini metodologi yang digunakan perlulah betul. Sains berkonsepkan tauhid melahirkan metodologi atau pendekatan yang mengambil kira syariat. Kepatuhan kepada syariat tidak menghalang kreativiti dan inovasi kerana kebebasan untuk mengkaji telah pun diberikan Islam berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu.” Yang dituntut ialah kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariat yang akan mencantikkan sains. Sebagai contoh syariat mengutamakan nyawa manusia. Justeru kajian sains dan teknologi yang terhasil daripadanya tidak boleh digunakan untuk memusnahkan nyawa. Syariat juga melarang kemudaratan dilakukan berdasarkan sabda nabi yang bermaksud, “Tidak boleh melakukan kemudaratan dan tidak boleh membalas dengan kemudaratan.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Malik, Al-Hakim, Baihaqi dan Ibn Majah.


Islam juga menekankan tentang akhlak. Antara akhlak yang wajib dihayati ialah sikap bertanggungjawab ataupun amanah. Amanah ini melibatkan individu, alam sekitar dan masyarakat secara amnya. Lihatlah apa yang berlaku pada hari ini apabila sains dan teknologi terbabas daripada nilai-nilai amanah dan agama. Sebagai contoh, bidang bioteknologi telah melahirkan satu konsep baru yang dikenali sebagai kejuruteraan genetik (genetic engineering). Teknologi ini mampu memindahkan bahan genetik yang bernama DNA dari satu spesies ke spesies yang lain. Walau bagaimanapun untuk berjaya, proses ini memerlukan bantuan virus tertentu agar DNA daripada spesies yang berbeza dapat mengenali antara satu sama lain. Penggunaan kuman-kuman virus ini akhirnya menyebabkan kelahiran pelbagai kuman serta penyakit baru yang mampu membunuh manusia. Mengikut Dr Mae-Wan Ho, pengarah Bioelectrodynamics Laboratory di Open University, United Kingdom, kejuruteraan genetik telah menyebabkan wabak kolera menyerang India pada tahun 1992, wabak kuman streptococcus di Tayside pada tahun 1993 dan wabak kuman E. Coli 157 di Scotland.


Justeru, kepatuhan kepada syariat adalah penting agar sains tidak terbabas daripada landasan kebenaran dan kesejahteraan.

Perbezaan Alimbillah Dengan Arifbillah

Ia mempercayai ALLAH berdasarkan hujah ilmu dan akal Atas dasar ilmu ia tidak boleh menolak adanya Tuhan Tapi percaya secara ilmu itu, tidak ada rasa berTuhan Takut dan cintanya dengan ALLAH tidak dapat dirasakan

Berlainan sekali Al Arifbillah

Orang yang mengenal ALLAH dengan makrifat yang mendalam
Ilmunya memberitahu
Dikuatkan dengan perasaan hati yang sentiasa sedar rasa berTuhan

Al Alimbillah suka berbahas, suka berforum, suka bermujadalah

Tapi apa yang dibincangkan tidak pun dihayati
Dan tidak diperbincangkan dengan amalan

Al Arifbillah, cinta dan takutnya dengan Tuhan amat mendalam

Perasaan itu payah hendak diungkaikan
Rasa kehambaan dapat dilihat di dalam kehidupan

Al Arifbilah bercakap berdasarkan pengalaman

Al Alimbilah bercakap di atas dasar ilmu pengetahuan
Al Arifbillah kerana rasa kehambaan mendalam
Sifat-sifat mahmudahnya nampak terserlah di dalam kehidupan

Al Alimbillah sifat-sifat mazmumahnya yang terserlah

Terutama sifat-sifat ego, riak dan megah
Gila nama dan glamour
Ingin dipuji dan dikenang jasanya

Al Arifbillah , sanjungan dan pujian itulah yang menyeksa hatinya

Itulah yang dibenci dan sangat tidak disukainya
Al Alimbilah belum menyelamatkan seseorang
Al Arifbillah baru ada jaminan dari Tuhan

Senaman Ifrit



عن أبي هريرة قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم صنفان من أهل النار لم أرهما قوم معهم سياط كأذناب البقر يضربون بها الناس ونساء كاسيات عاريات مميلات مائلات رءوسهن كأسنمة البخت المائلة لا يدخلن الجنة ولا يجدن ريحها وإن ريحها ليوجد من مسيرة كذا وكذا
(Rasulullah s.a.w. bersabda "2 golongan ahli neraka yang tak pernah aku lihat, kumpulan manusia yang memegang cemeti seperti ekor lembu, lalu memukul manusia (zalim), dan perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang cenderung dan mencenderungkan (menarik perhatian) orang lain, rambut mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya walaupun baunya boleh dicium dari jarak sekian, sekian (500 tahun perjalanan-dalam kitab Muwatta Imam Malik) Hadith riwayat Muslim Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Selawat dan salam buat Rasulullah s.a.w.
Akhir zaman yang serba moden dan canggih ini banyak aktiviti dirancang kononnya bagi tujuan kesihatan, kecergasan dan merapatkan ukhuwah sesama manusia. Tapi apa yg menyedihkan bila kita lupa Tuhan seterusnya mudah ditipu oleh nafsu jahat melalui rancangan jahat yahudi yang sangat halus iaitu SENAMROBIK.

Kalau ditanya kepada ustaz dan ustazah:

Boleh tak kita menari lelaki dan perempuan bersama-sama? HARAM!.
Boleh tak kita senaman lelaki dan perempuan bersama-sama? Boleh.
Boleh tak kita senamrobik? Apa tu senamrobik?
Ala... senaman mcm biasa je. Ok, boleh.

Tapi bila start senamrobik, ramai yg tak sedar ia sebenarnya mini disko yang dibuat ditempat lapang, tiada lampu kelap kelip, tapi ada musik yg rancak yang akan menggegarkan tubuh setiap orang yg mendengarnya. Musik yang akan menggerudi tubuh lelaki dan perempuan tanpa rasa letih dan jemu. Sambil menjamu mata melihat tubuh wanita lain bergoyang-goyang yg dibaluti baju dan seluar sukan yg ketat. Terkadang terbuka aurat apabila membongkok.


Susunan peserta tidak diambilkira. Kalau boleh lelaki dan perempuan bercampur lagi seronok. Perempuan senam kat depan.


Maka bertambahlah dosa mata setiap peserta. Malangnya terkadang ustaz dan ustazah pun ikut serta.


Tetapi senaman ifrit ini dibolehkan oleh ramai pihak atas alasan senaman kesihatan. Tetapi ingatlah bau syurga bakal diharamkan menciumnya jika masih degil dengan pemikiran dan budaya jahiliyah ini.


Wallahu A'lam. Hanya semata-mata limpah kurnia dan rahmat dari Allah Ta'ala.

Sabtu, 6 November 2010

Gambar Banjir di Kedah



Nov 3, 10 8:39pm

Di Kedah, mangsa banjir daripada 6,415 keluarga iaitu 25,000 orang, di empat daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir berikutan keadaan banjir semakin teruk sejak dua hari lepas.

Daripada jumlah itu, 15,613 penduduk daripada 4,178 keluarga adalah dari daerah Kubang Pasu, 3,105 mangsa daripada 801 keluarga (Padang Terap), 5,331 penduduk daripada 1,202 keluarga (Kota Setar) dan 1,039 penduduk daripada 234 keluarga di Pokok Sena.



Jurucakap bilik gerakan Majlis Keselamatan Negara berkata sebanyak 94 pusat penempatan mangsa banjir dibuka di keempat-empat daerah dan daripada jumlah itu, 45 di Kubang Pasu, 35 di Padang Terap, lima di Pokok Sena serta sembilan di Kota Setar.

Sementara itu, beliau berkata 803 orang mangsa banjir daripada 183 keluarga di Padang Terap telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing kira-kira pukul 1 tengah hari ini.

Antara kampung yang dilanda banjir di Kubang Pasu ialah, Kampung Changkat Setoi, Paya Lantau, Malau, pekan Changlun, Jitra dan Kodiang. Bacaan paras air sungai Bata melepasi paras bahaya iaitu 9.58 meter (paras bahaya 9.14m).

Tinjauan Bernama di daerah Kota Setar mendapati air semakin naik sehingga 0.7 meter walaupun hujan telah berhenti kerana aliran air dari daerah Padang Terap.



Sementara itu senarai jalan yang ditutup adalah seperti berikut:

KOTA SETAR
1. Jalan Pantai Johor – Gunung Keriang
2. Jalan Kuala Sungai – Sungai Baru
3. Jalan Alor Setar – Kepala Batas
4. Jalan Kepala Batas – Bukit Pinang
5. Jalan Hutan Kampung – Kepala Batas
6. Lebuhraya Darulaman (beberapa bahagian)

POKOK SENA
1. Jalan Lengkuas – Derang
2. Jalan Derang – Batu 11 Pokok Sena

KUBANG PASU
1. Jalan Tanah Merah – Wang Tepus
2. Jalan Kepala Batas – Kemunting
3. Jalan Jitra – Sungai Korok
4. Jalan Tunjang – Teluk Malek
5. Jalan Teluk Malek – Kampung Naga
6. Jalan Jitra – Bukit Wang
7. Jalan Napoh – Wang Tepus
8. Jalan Changlun – Kodiang
9. Km 10.2 hingga Km28 Lebuhraya Utara Selatan

PADANG TERAP
1. Jalan Kampung Kubu – Simpang Nai Teh
2. Simpang Nai Teh – Kampung Tengah
3. Jalan Kuala Nerang – Kampung Tanjung
4. Jalan Kampung Tanjung – Puncak Janing
5. Jalan Kuala Nerang – Durian Burung
6. Jalan Batu 19 Kuala Nerang – Kampung Rambuntan
7. Jalan Masjid Kuala Nerang – Kampung Rambutan
8. Jalan K. Nerang – Barokhas
9. Jalan Kampung Tanjung – Tok Pelu



Bawah: Gambar2 Banjir di Jitra 02/11/2010