Oleh Yunus Tasim
Malaysia memang sudah nazak. Rakyatnya memang sudah tenat. Di mana-mana perkara yang sama dibincangkan. Di kedai mamak, di kopitiam, di majlis orang kahwin, di pejabat, di tempat-tempat ibadah, semua mencemuh Najib dan tak kurang yang mengutuk dan menyumpah Najib. Yang tua dan muda, yang besar dan kecil, lelaki dan perempuan, semua tidak terkecuali.
Memang tenat dan kritikal. Tidak pernah Malaysia dilanda wabak sebegini teruk. Istilah ‘Derma’ dah jadi sindiran. Keborosan dan belanja berlebihan dari pendapatan Najib dan Rosmah telah menjadi buah mulut dan kutukan rakyat.
Rakyat kini telah sedar. Rakyat sudah dapat melihat. Bukan sahaja di bandar, malah di kampong-kampong. Orang Umno juga telah sedar. Orang MCA, MIC, Gerakan, PBB dan PBS juga pasti telah sedar.
Tetapi kenapa Najib masih dapat bertahan? Malah ada yang kata Najib bertambah kuat. Semakin Najib kuat, sebaliknya Malaysia semakin tenat. Ringgit Malaysia terus menjunam. Ekonomi negara menuju kehancuran. Masa depan negara dalam keadaan tidak menentu akibat skandal-skandal Najib.
Kalau orang Umno sedar, kenapa mereka tidak meminta Najib berundur untuk menyelamatkan Umno? Apakah Najib itu lebih besar dari Umno? Bukan Umno tidak pernah melakukannya. Tun Razak dan pemimpin Umno yang lain telah meminta Presiden Umno ketika itu, Tunku Abdul Rahman untuk berundur setelah peristiwa 13 Mei. Dan Tunku telah berundur secara terhormat.
Memang sudah ada suara di mesyuarat cawangan dan bahagian Umno seperti yang tersebar di media sosial. Tetapi difahamkan suara di mesyuarat cawangan dan bahagian tidak akan sampai ke atas kerana tergantung kepada Ketua Bahagian Umno. Kata orang-orang Umno, ramai Ketua Bahagian ‘telah dibeli’ Najib justru tidak mungkin ada susulan dan tindakan drastik lagi berani. Untuk Umno membetulkan Umno sudah jadi sesuatu yang mustahil.
Kini terdengar pula parlimen akan digunakan melalui usul undi tidak percaya. Memang ini adalah saluran yang sah dari segi undang-undang dalam demokrasi berparlimen dengan syarat cukup ahli parlimen yang menyokongnya. Yang pasti ahli parlimen Umno yang kebanyakannya terdiri dari Ketua Bahagian pasti tidak menyokong atas sebab-sebab di atas. Ahli Parlimen MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak juga tidak akan menyokong dilihat dari sikap mereka dalam isu ini. Mereka langsung tidak bersuara, bisu seribu bahasa.
Yang tinggal hanyalah ahli parlimen pembangkang. Yang pasti ahli parlimen PAS dari golongan ulama tidak akan menyokong kerana mereka juga katanya ‘telah dibeli’ dengan harga hudud. Justru mereka berdiam diri atas ‘kemungkaran’ yang dilakukan Najib. Kalau nak diharapkan dari ahli parlimen DAP dan PKR, pasti undi tidak percaya tidak akan berjaya bila parlimen bersidang Oktober ini.
Seharusnya ahli parlimen sedar bahawa rakyat telah memberi amanah kepada mereka. Rakyat berharap ahli parlimen yang dilantik itu dapat melihat bahawa Malaysia lebih besar dari Najib. Malaysia lah mesti diselamatkan, bukan Najib. Tapi nampaknya ahli parlimen BN tidak dapat melihat apa yang rakyat lihat atau ada benda-benda yang membutakan mereka.
Kini yang tinggal hanyalah rakyat untuk bertindak sendiri, kerana rakyatlah yang memilih Umno dan BN untuk memerintah Malaysia. Dan Umno dan BN lah yang kemudiannya memilih Najib menjadi perdana menteri Malaysia. Jika semua rakyat sedar yang Malaysia itu lebih besar dari Najib dan Umno, maka rakyat harus tampil untuk membetulkan keadaan dan meminta Najib untuk berundur mengikut lunas undang-undang. Rakyat harus bersuara, menggunakan apa jua saluran yang dibenarkan. Kalau tidak, rakyat harus menunggu hingga tahun 2018 PRU akan datang.
Apakah rakyat masih boleh menunggu? Apakah Malaysia masih boleh bertahan atau nasi telah jadi bubur, terlambat untuk kita selamatkan?
Yunus Tasim adalah pembaca FMT
kredit:http://www.freemalaysiatoday.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan