Kerajaan sedang menyiasat sejauh mana pembabitan pemimpin pembangkang dalam penganjuran perhimpunan haram Gerakan Mansuh Akta Keselamatan Negeri (ISA) di Kuala Lumpur semalam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata siasatan dijalankan sama ada pemimpin pembangkang itu bertindak secara langsung atau sebagai dalang dalam penganjuran perhimpunan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Masjid Tanah dekat sini, hari ini, Hishammuddin yang juga naib presiden Umno berkata, siasatan itu berdasarkan prosedur biasa dan tiada siapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang jika mereka melanggarinya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohammad Sabtu Osman, semalam bahawa pemimpin tertinggi pembangkang berucap di hadapan penyokong Gerakan Mansuh ISA (GMI) di pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Katanya, antara yang disiasat ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Hishammuddin juga berkata, penyokong ISA, Majlis Pemuafakatan Ummah (Pewaris) tidak akan terkecuali daripada siasatan polis mengenai pembabitan mereka pada perhimpunan haram GMI.
Kira-kira 10,000 orang menyertai perhimpunan itu yang mendesak kerajaan memansuhkan ISA dan 589 ditahan untuk disiasat.
Hishammuddin berkata, modus operandi kumpulan yang mengadakan perhimpunan haram membantah ISA itu sama seperti mereka yang mengadakan demonstrasi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Turut hadir pada perasmian mesyuarat perwakilan itu ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop yang juga Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan