Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, kajian semula terhadap sebarang pindaan berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) perlulah bersesuaian dengan keadaan semasa.
Bekas perdana menteri itu berkata, semua undang-undang sebenarnya perlu dikaji dari masa ke masa supaya bersesuaian dengan keadaan semasa.
"Bukan soal saya setuju saya atau tidak, saya kata semua undang-undang tak boleh jadi lapuk, kalau lapuk dan tak sesuai dengan masa, kita kaji," katanya selepas menghadiri program "Sejenak Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad" anjuran Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam bahawa kerajaan sedang mendapatkan maklum balas mengenai ISA dan membuat kajian semula berhubung akta itu.
Mengulas mengenai demonstrasi di Kuala Lumpur semalam, Dr Mahathir berkata, rakyat perlu sedar bahawa berdemonstrasi bukanlah cara terbaik untuk memberi tekanan kepada kerajaan bagi mengubah akta itu.
"Kita (kerajaan sebelum ini) sudah buat kajian semula (berkenaan ISA), dah lama dah, tapi oleh kerana keadaan tertentu kita tak buat pindaan, kalau nak buat pindaan kenalah sesuai dengan keadaan.
"Tapi untuk tekan kerajaan dengan membuat demonstrasi, itu bukan budaya kita, ini budaya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memperkenalkan budaya politik jalanan. Jadi saya tidak setuju dengan cara itu, ada cara lain boleh jayakan sesuatu perjuangan," katanya.
Mengenai peluang Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Permatang Pasir kelak, Dr Mahathir berkata, Umno dan BN berpeluang menang jika berjaya mendapatkan semula sokongan rakyat.
"Nampak prestasi di Kelantan (pilihan raya kecil Manik Urai) hari itu baik. Kalau ada perubahan tertentu, mungkin rakyat akan balik kembali untuk menyokong Barisan Nasional," katanya.
Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Dr Mahathir berkata, Umno akan kembali kuat jika semua pemimpin dan ahlinya kembali menghayati matlamat asal perjuangan parti untuk membela bangsa, agama dan tanah air.
Dr Mahathir berkata, usaha memerangi rasuah secara bersungguh-sungguh dan serius perlu dilakukan tanpa mengira kedudukan dan pangkat bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat.
Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan