KENYATAAN Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Singapura mengenai tiga parti dalam Pakatan Rakyat (PR) masih kekal utuh dan tidak berdepan dengan kemungkinan berpecah belah walaupun ada tekanan daripada Barisan Nasional (BN), lebih bersifat psikologi songsang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, kenyataan Lim itu untuk menutup kelemahan serius yang dihadapi pemimpin PR yang mempunyai pendekatan dan ideologi berbeza.
"PR berdepan dengan masalah sesama sendiri di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, ini yang cuba dinafikan Lim. Namun, rakyat sedar pakatan membabitkan Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berdepan dengan perpecahan menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya kepada wartawan Malaysia pada Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) di Speke Resort, Munyonyo, semalam.
Pada 26 Julai lalu, Lim pada sidang akhbar dengan wartawan Singapore Press Holdings (SPH) di Singapura, berkata PR masih kekal utuh dan tidak berdepan kemungkinan berpecah belah.
Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, tidak seperti BN yang mempunyai matlamat yang jelas, pengalaman dan berjaya menerima konsep perkongsian kuasa, PR tidak mempunyai apa yang BN ada.
"Semua yang diterima pakai BN, tidak dimiliki PR. Pakatan mereka longgar, namun mereka ingin menunjukkan mereka bersatu malangnya ia tidak mampu bertahan lama," katanya.
Ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan, yang hanya mahukan hubungan kerajaan Kelantan dengan Kerajaan Pusat lebih bersifat pentadbiran saja, bukan hubungan politik, Muhyiddin berkata, hubungan baik Kerajaan Pusat dan negeri tidak boleh dipisahkan kerana menjejaskan pembangunan yang dinikmati rakyat.
Katanya, kerjasama Pusat dan negeri berlaku dalam dua keadaan iaitu hubungan pentadbiran dan politik sama ada secara langsung atau sebaliknya.
Mengenai dakwaan Nik Aziz Kerajaan Pusat mengabaikan pembangunan di Kelantan, Muhyiddin berkata, Kelantan menerima peruntukan mengikut Perlembagaan Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan