Khamis, 9 Januari 2014

SAMM Sokong Himpunan Pensil Merah


Kenyataan Umum
3 Januari 2014

SAMM Sokong Himpunan Pensil Merah 

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menyokong himpunan 'Pensil Merah' yang dianjurkan oleh sekumpulan wartawan yang menuntut kebebasan media dan membantah penggantungan sebuah akhbar.

Himpunan yang berlangsung esok jam 2 petang di depan bangunan Majlis Peguam (kawasan lapang depan jam besar), adalah bertepatan ekoran penggantungan akhbar The Heat hanya kerana akhbar tersebut melaporkan pemborosan keluarga Perdana Menteri. 

Penggantungan akhbar The Heat melambangkan satu penindasan terhadap warga media dan ia menutup ruang kepada media lain untuk menyampaikan kebenaran. Jika The Heat digantung, tidak mustahil akhbar atau portal berita lain turut mengalami nasib yang sama. Seharusnya, jika laporan mana-mana akhbar didapati tidak benar maka kerajaan mahupun keluarga Perdana Menteri mempunyai saluran yang luas untuk failkan saman.

SAMM juga mempersoalkan di manakah transformasi Najib dalam soal keterbukaan yang dicanang selama ini? Apakah ia sudah basi setelah berjaya mengekalkan kuasa pada pilihanraya umum yang lalu? Apakah keputusan KDN ini yang dipimpin oleh Zahid Hamidi dengan sengaja memburukkan reputasi Najib Razak?

Justeru itu, SAMM menggesa semua pengamal media, termasuk blogger dan pemain media sosial wajib mengambil bahagian dalam himpunan protes Pensil Merah. Ini kerana, semuanya terdedah dengan hukuman yang bersifat kuku besi.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan