Rabu, 20 Julai 2011

Apakah Penyebab Rabun Malam

 

Pasti anda pernah mendengar perkataan rabun malam di mana penghidapnya rabun semasa matahari terbenam.

Sebenarnya rabun malam merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh kekurangan Vitamin A dalam makanan yang menyebabkan sel mata yang kering dan menghadkan keupayaan untuk menguruskan intensiti (ketumpatan) cahaya.


Kesan sampingan yang lain termasuk kulit menjadi kasar dan bersisik di tangan dan kaki.


Pembentukan gigi dan pertumbuhan badan juga mendapat gangguan dan dalam beberapa kes kornea sangat kering dan legap dan membawa kepada buta.


Mereka yang menghidapi rabun malam perlu mengambil lebih banyak sayuraan berdaun terutama bayam, hati, mentega, buah-buahan, lobak merah, labu, susu dan ikan di dalam diet bagi mendapatkan lebih banyak vitamin A.

Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali

Dr Lo’ Lo’ Sekadar Yang Saya Kenali Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZa)


Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebahagian bilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. 

Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. 

Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.

Apabila saya menerima berita kematian YB Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, perasaan saya menjadi sugul. Saya teringatkan sikap prihatin beliau kepada saya sepanjang saya mengenalinya. 

Paling sayu, saya teringat permintaan beliau beberapa minggu lepas ketika saya menziarahi beliau dalam keadaan yang amat uzur. Beliau meminta saya menulis sebuah puisi untuknya. 

Ternyata saya tidak menunaikan harapan itu sehingga beliau meninggal. Padahal, saya telah sebut ‘insyaAllah’.

Hari ini jenazah beliau dikebumikan, malang sekali lagi saya tidak dapat hadir kerana ada viva student di USM. Namun doa saya untuknya sejak saya mendengar kematiannya. 

Saya juga harap tulisan ini dapat memberikan manfaat yang lebih dengan saya merayu kepada pembacanya agar berdoa kepada Allah untuk diberikan rahmat dalam keampunan kepada Lo’ Lo’ Ghazali, hamba Allah yang telah pulang ke kehidupan yang hakiki.

 Saya ingin mencoret sedikit mengenai beliau dengan kadar sedikit yang saya kenal. Saya mulakan dengan apa yang Nabi s.a.w nasihati kita:
“Sesiapa dalam kalangan kamu yang terpaksa memuji saudaranya, maka hendaklah dia berkata: ‘aku menilainya demikian, Allah jua yang menjadi penilainya yang sebenar, aku tidak akan memuji sesiapa atas nama Allah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ya, hanya Allah yang mengetahui hakikat kita. Kita menilai apa yang zahir, Allah jua mengetahui apa yang batin. Mungkin apa yang ada di sisi Allah lebih baik dari apa yang kita sangka dan tahu. Demikian juga sebaliknya.

Peringatan Jawatan Mufti

Saya bukan terlalu mengenali Dr Lo’ Lo’. Cuma ada beberapa coretan sekadar yang saya kenal beliau. Saya mula mengenali Dr Lo’ Lo’ sejak sebelum saya menjadi Mufti Perlis lagi. 

Beliau menghadiri beberapa majlis ucapan saya. Kali terakhir seingat saya di UIA, semasa saya berforum.

Apabila saya ditawarkan menjadi mufti pada tahun 2006, Dr Lo’ Lo’ menghantar email mengingatkan saya tentang bahaya jawatan tersebut. 

Sebagai anak bekas Mufti Perak, beliau menceritakan pengalamannya. Saya masih simpan peringatan itu.

Antara yang beliau sebut
“..saya juga seorang manusia yang dhaif tetapi saya ingin berkongsi pengalaman kerana pernah hidup sebagai anak mufti dan berkongsi pahit maungnya serta cabaran seorang mufti bagi kerajaan yang tidak mengamalkan Islam sepenuhnya.
Banyak kali arwah bapa saya bersungut dan menyatakan kesal kerana nasihat dan pandangannya tidak dipedulikan, keputusan majlis fatwa yang dianggotainya dibuang dalam tong sampah, bagaimana payahnya berhadapan dengan sultan-sultan yang kehidupan mereka dikelilingi dengan pelbagai adat dan kebiasaan yang tidak selaras dengan Islam.
Itu belum kira kerenah MB, exco-exco dan YB-YB lagi…itu cerita 30 tahun lalu, saya percaya kini cabaran untuk seorang mufti kerajaan adalah lebih hebat lagi. Saya berdoa agar Dr Asri dipandu untuk memilih keputusan yang terbaik dunia dan akhirat”.
Itulah antara kandungan email beliau. Lahir dari jiwa yang ikhlas terhadap saya dan naluri yang prihatin terhadap agama.

Saya merenung kata-katanya ketika itu. Kali ini apabila saya membaca sekali lagi, saya dapat rasakan indahnya kejujuran yang terkandung dalam nasihat itu. 

Ya, sering kali sesuatu lebih bernilai kita rasakan, apabila empunya telah pergi. Semoga menimbang kata-kata nasihatnya itu sebagai himpunan amalan soleh beliau.

Apabila saya menjadi Mufti Perlis, saya agak terputus dengan beliau. Hanya sekali-sekala beliau bertanya beberapa perkara. Mungkin beliau rasa ketika itu saya rapat dengan pemimpin UMNO.

Selepas Mufti

Apabila berhenti dari jawatan Mufti, pada hari yang berikutnya saya terus ke UK. Di UK, saya sempat bertemu dan berhubung baik dengan anak beliau Saudara Fawwaz yang ketika itu tinggal Manchester. 

Layanan baik Fawwaz kepada saya dan keluarga ketika melawat dan berceramah di Manchester tidak dapat saya lupakan. Ini menjadikan kembali saya mengingat sikap baik ibunya kepada saya.

Apabila pulang ke Malaysia, kemudian berlaku peristiwa saya ditahan JAIS dan ke mahkamah, ramai pemimpin politik dan NGOs yang hadir. Dr Lo’ Lo’ yang ketika itu uzur juga turut hadir ke mahkamah di Gombak. Sempat saya bercakap dengan beliau. 

Saya ingat lagi, beliau kata kepada saya:
“Ini ada hikmahnya, ujian dan cabaran, Allah mahu ustaz memimpin rakyat, turut ke medan, bersama-sama mengubah keadaan yang ada”.
Saya diam. Saya akur. Saya tahu beliau jujur. Hati nuraninya yang sayangkan kebaikan dan bencikan kezaliman itu tidak dapat disembunyikan sekalipun di sebalik tubuh yang uzur. Selepas hari itu, agak kerap juga kami bertanya khabar.

Masuk UMNO
Kadang-kala beliau bertanya saya pandangan dalam pelbagai isu agama. Beliau fahami pendirian saya. Beliau saya rasa suka dengan cara apa yang saya faham mengenai beberapa perkara dalam Islam ini. 

Apabila timbul berita saya akan masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ menghubungi saya dengan tegas. Kata beliau:
“Janganlah ustaz tambahkan sakit saya dengan berita-berita yang macam ini. Saya pernah teramat kecewa apabila Anwar Ibrahim masuk UMNO. Saya harap ustaz tidak mengulangi kesilapan itu. Saya akan amat kecewa jika ustaz membuat tindakan yang sama”.
Saya meminta beliau memberikan masa agar spekulasi itu berakhir lagi dua tiga hari. Beliau terus mengingatkan saya agar jangan tersilap langkah. 

Keesokannya, barangkali beliau mendengar desus-desas itu makin kuat, maka beliau sms kepada saya dengan tegas, katanya:
“mati hidup semula saya tidak akan mempercayai ustaz lagi jika ustaz masuk UMNO. Apakah ustaz takut kepada cabaran di dunia ini? Atau mengharapkan kedudukan di dunia sehingga sanggup hendak masuk UMNO? Jika ustaz tidak mahu masuk PAS pun, janganlah masuk UMNO”.
Saya simpati dan rasa bersalah memandang beliau uzur. Saya terus bercakap dengannya dengan memberikan jaminan bahawa apa yang beliau khuatiri itu insyaAllah tidak berlaku. 

Saya beritahu bahawa pimpinan PAS lain, khusus Ketua Dewan Ulama PAS juga telah bercakap dengan saya dan memberikan nasihat. Namun, apabila 40 orang ulama muda masuk UMNO, Dr Lo’ Lo’ sekali lagi berhubung dengan saya dan berkata:
“Tergamak ustaz membiarkan sahabat-sahabat ustaz masuk UMNO, sedangkan saya ini bersusah payah hendak memastikan mereka yang berpegang dengan manhaj al-Quran dan as-Sunnah masuk ke dalam PAS. Jika Tuan Guru Nik Aziz tidak ada nanti, macam manalah perjalanan PAS ini. Ini, ustaz pula biarkan kawan-kawan masuk UMNO”.
Saya diam. Ada perkara yang saya tahu yang mungkin beliau tidak tahu. Begitulah sebaliknya. Apa pun, saya amat berterima kasih, sikap beliau yang sentiasa prihatin kepada perkembangan Islam dan masa depan dakwah. Beliau seorang serikandi, seorang mujahidah, seorang yang jujur dengan keyakinannya.

Kritik PR
Saya tahu, ya kadang-kala apabila saya mengkritik tokoh utama PR, Dr Lo’ Lo’ kurang selesa. Dia akan sms melahirkan ketidakpuasan hatinya. 

Kadang-kala bahasanya ‘tegas’. Saya sering tersenyum apabila membaca smsnya. Ya, bukan semua perkara kita dapat sama dan seiya sekata. Namun, yang pasti ia adalah kata-kata yang datang dari seorang yang prihatin.

Namun, beliau lama-lama biasa dengan sikap saya yang memberikan pandangan kepada kedua belah pihak. Sebelum muktamar PAS beliau memohon agar saya mewar-warkan semula artikel lama saya ‘Ulama atau professional Jadi Pemimpin’ . 

Beliau kata, beliau ingin meminta supaya Harakah menyiarkannya semula. Saya tahu aliran pemikiran yang ingin ramaikan professional dalam kepimpinan PAS.

Ziarah Hospital

Apabila saya mendapat berita beliau amat uzur dan berada dalam keadaan kritikal di hospital, saya hubungi Fawwaz. Saya pohon untuk menziarahinya. 

Saya pergi dengan beberapa orang sahabat, sebahagian mereka ustaz-ustaz. Dr Lo’ Lo’ meminta untuk hanya saya sahaja yang masuk dahulu. MasyaAllah, saya melihat seorang serikandi mujahidah dalam kedaan yang uzur terbaring di katil. 

Wajahnya sudah kelihatan bengkak. Pun, begitu masih lagi dengan pakaian muslimahnya. Beliau menangis ketika itu. Dalam celahan itu saya mendengar indahnya kata-kata beliau:
“ustaz, saya bimbang saya tidak dapat menjadi hamba Allah yang baik”.
Kata-kata itu menusuk ke dalam jantung saya bagaikan cahaya ruhi yang menyelinap masuk ke dalam urat nadi. 

Ia adalah kata-kata yang lebih murni dari segala lafaz seni, kata-kata yang lahir dari nurani insani yang mendambakan kasih-sayang Allah. 

Kata-kata yang tidak lahir di saat- demikian melainkan dari jiwa yang sentiasa berhubungan cinta dengan Allah. Demikian penilaian saya. Hakikat yang sebenar kembali kepada Allah.

Kemudian, sempat beliau berpesan kepada saya untuk terus memberikan pandangan kepada PAS dan beliau bersyukur segala usaha beliau dan sahabat-sahabatnya mula melihatkan hasil dalam PAS. 

Beliau meminta saya tuliskan sebuah puisi untuk beliau. Saya berjanji insyaAllah. Nampaknya, puisi itu akan lahir selepas pemergian beliau.

Ustaz Sampul

Selepas habis berbicara dengan saya, beliau mengizinkan sahabat-sahabat yang bersama saya masuk. Dalam keuzuran yang amat sangat itu, beliau masih sempat memberikan nasihat. Antara yang beliau kata;
“Maaflah saya ingin sebut, ustaz-ustaz ini jangan asyik fikirkan sampul sahaja. Ramai yang rasa selesa, hanya dok berkuliah dalam masjid, selepas itu seronok dapat sampul duit tapi tidak mengambil tahu apa yang berlaku kepada umat; khususnya anak-anak muda kita kat luar sana”.
Ya, itulah kata-kata beliau. Ia amat benar. Itu penyakit yang menimpa ramai yang memakai gelaran ustaz atau ‘pendakwah’

Pahit yang terpaksa diakui, bukan sedikit yang fikirannya berlegar kepada wang dalam sampul yang akan menjadi habuan selepas kuliah atau ceramah. 

Bukan salah. Namun, apabila itu dijadikan buruan, maka ramai yang mengelak diri dari arus dan tribulasi perjuangan. Kata-kata Dr Lo’ Lo’ itu terbit dari hati nurani seorang daiyah (pendakwah). Bukan singkat masa beliau menelusuri pengalaman dan perjuangan.

Ya, beliau banyak di medan politik. Sebahagian ijtihad siyasi dan pandangan politiknya mungkin berbeza dengan saya. 

Namun, saya tetap hormati jasa dan sumbangannya. Zahir pada kehidupan sebagai seorang muslimah dan mujahidah. Berjuang membela keyakinannya mengenai Islam dan keadilan.

Sebagai seorang sahabat dan insan yang masih hidup atas bumi ini, saya hanya mampu berdoa untuknya agar dilimpahi rahmat dan keampunan, kemudian meneruskan perjalanan hidup ini sehingga sampai ke destinasi seperti mana beliau pun telah menamatkannya

Fenomena Filem Yang Namanya Ala-ala Islamik

by :  myilham.com
Sumber : TemanHidup@yahoogroups.com
               TemanHidup-subscribe@yahoogroups.com

ke mana jiwa ummah hendak di bawa?
 
Antara tanggungjawab ibu bapa ke atas anak-anak adalah memberikan mereka nama yang baik. Antara nama yang baik dan elok adalah nama-nama yang disandarkan kepada Asmaul Husna, misalnya Abdur Rahman, Abdul Karim, Abdul Mujib dan sebagainya. Begitu juga nama para Anbiya’, Sahabat-sahabat Nabi dan orang-orang soleh.
 
Pentingnya kebaikan pada sebuah nama adalah kerana ia menggambarkan kemuliaan orang atau perkara yang dinamakan. Begitu juga, ia merupakan satu doa. 
 
Saya kerapkali berfikir untuk menamakan anak saya nanti dengan nama yang ringkas dan pendek, tetapi mempunyai maksud yang baik. 
 
Orang melayu biasalah, kadangkala namanya dah cukup baik, tetapi kerana disingkatkan, maksud pada nama tersebut hilang entah ke mana.
 
Khatijah dipanggil katty, Maryam dipanggil marry, Muhammad dipanggil mamat atau mat. Begitulah seterusnya.
 
KAEDAH
Namun begitu, isu nama sebenarnya tidaklah sebesar isu apa yang dinamakan. Bermakna, kebaikan itu secara dasarnya akan jatuh kepada orang atau perkara yang dinamakan. 
 
Muhammad kalaupun dipanggil mamat, tetapi merupakan seorang yang soleh, tetap tinggi darjatnya di sisi Allah. Begitu juga seorang muslim bernama Lim, Ravi atau Richard. Tidak ada masalah.
 
Hukum juga begitu. Kaedah Fiqh menyebut ; sesuatu hukum dikira pada benda yang dinamakan dan bukannya pada nama tersebut. 
 
Contohnya sebuah negara. Bagaimana sebenarnya sebuah negara yang dikehendaki oleh Islam? 
 
Adakah perlu negara tersebut dinamakan dengan Darul Islam, atau Daulah Islamiah , atau diisytihar sebagai Negara Islam bagi membolehkannya menepati kehendak Allah Baldatun Thoyyibah wa Rabbun Ghafur ?
Tidak. 
 
Jika sesebuah negara tidak dinamakan dengan nama-nama sedemikian sekalipun, tetapi di dalamnya terdapat pemerintahan yang benar-benar menjunjung Al-Quran dan Sunnah serta menepati ciri-ciri sebuah negara yang dituntut oleh Islam, maka sebenarnya adalah sebuah negara Islam.
Biarpun namanya Negara Berkebajikan. 
 
Ia tidak lari dari konsep Negara Islam yang sebenar, kerana negara Islam atau daulah Islamiah itu sendiri sebenarnya adalah sebuah negara yang mengutamakan konsep kebajikan. Jadi tidak ada masalah pada nama.
 
Tahajud Jiwa, Taubat Cinta, Sejadah Munajat, Istikharah Cinta Dan Pelbagai lagi.
 
Saya tidak pernah meminati sebarang filem atau cerita yang mempunyai mirip nama seperti di atas. 
 
Bukan saya tidak mahu menyokong filem Islamik, tetapi mungkin kerana saya jarang sekali dapat melihat konsep Islamik itu dijunjung dengan bersungguh-sungguh dalam filem sedemikian.
Banyaknya datang dari Indonesia. 
 
Sekali muncul, bagai tsunami yang sangat hebat. Menyentap hati dan jiwa anak-anak muda untuk mencari cinta Islamik. 
 
Cinta yang bersih, jauh dari dosa dan noda. Ada kebaikan yang besar di situ.
 
Malangnya, tidak banyak yang sampai ke tahap sebegitu.
 
Banyak dari filem sedemikian seolah menggunakan nama berbaur Islamik itu sebagai modal untuk menarik minat anak-anak muda yang berjiwa dakwah dan yang mempunyai minat yang tinggi kepada Islam. Sasaran ini seolah diletak dengan baik bagi meraih kejayaan filem mereka. 
 
Selepas satu filem, satu cerita, satu lagi filem dan cerita lain menyusul.
 
Dalam masa yang sama, konsep sebenar Islam itu tidak pula diperhalusi dengan baik.
 
Barisan pelakon yang dipilih untuk menggerakkan filem, kebanyakannya sekadar menjadi pelakon dan sememangnya, mereka ‘berjaya’ menjadi pelakon. 
 
Filem berjaya meraih kutipan yang tinggi, popular, pecah panggung dan sebagainya, tetapi kesedaran Islam kepada setiap pelakon pula bagaimana?
 
Adakah mereka yang dipilih untuk menggerakkan filem itu dianjurkan menyertai kursus agama terlebih dahulu? 
 
Setidak-tidaknya, sebelum mereka bergerak sebagai ‘kader dakwah’ menerusi filem Islamik, mereka telah terlebih dahulu mencuba sedaya upaya memperbaiki diri mereka, membersihkan hati, mengikhlaskan niat dan sebagainya.
 
Mungkin ini kedengaran agak lucu, tetapi hakikatnya, jika sesuatu filem itu meletakkan HIDAYAH kepada penonton sebagai matlamat, maka apa yang dinyatakan di atas merupakan antara perkara-perkara yang akan mereka laksanakan. 
 
Melainkan, sasarannya cuma untuk meraih perhatian , menarik penonton dan bersifat komersial semata-mata, maka apa yang dinyatakan di atas sudah tentu merupakan lawak jenaka sahaja bagi mereka.
 
Penonton pula jiwanya lembut dan lunak dengan Islam. Menonton filem dan cerita berbaur Islamik sedemikian, berjujuran air mata mereka, hingga terbawa-bawa dalam mimpi, terbawa-bawa dalam solat dan doa. 
 
Pelakon yang membintangi filem pula menjadi pujaan kerana kecantikan dan keelokan rupa paras mereka.
 
Fikirkan, bagaimana perasaan para penonton ini tatkala melihat ‘hero dan heroin dakwah’ mereka yang begitu sopan dan ayu bertudung itu sebenarnya tersangatlah seksi, pakaiannya cukup sendat dan bergambar lelaki perempuan rapat-rapat? Tidakkah mereka terasa diperbodohkan?
 
Justeru pada saya, diperbodohkan oleh filem yang namanya ala-ala Islamik merupakan satu perkara yang sangatlah malang. Kita bukan mahukan nama pada filem. 
 
Kita mahukan faedah, iktibar dan manfaat terutama sekali kepada jiwa dan hati kita. 
 
Kita berharap, agar sesuatu filem atau cerita yang kita tonton, mampu menyuntik hidayah dan menghidupkan hati-hati kita.
 
Maka perlulah kita tapis dengan lebih teliti. Nama yang Islamik sahaja, belum tentu ‘selamat’ untuk ditonton.
 
KOMEN
 
Mungkin ramai yang akan membantah. 
 
Mungkin ramai juga berpendapat, biarlah, sekurang-kurangnya ada juga filem Islamik di pasaran. Sekurang-kurangnya ada juga pilihan untuk kita daripada filem lain yang jelas tidak menutup aurat dan tidak ada konsep Islamik langsung.
 
Terpulanglah. Sama juga dengan Islamic Fashion Show. Boleh juga kita kata, lebih baik ada daripada hanya fesyen-fesyen barat yang menjadi sasaran. 
 
Namun pada saya, kedua-duanya sama sahaja. Islam itu perlu diambil semua dan secara menyeluruh. Ambil sedikit-sedikit seolah menunjukkan kita mahu bermain-main dengan agama.
 
Salah satu daripada ciri-ciri khusus Islam itu adalah Inqilabiyyah, bermaksud terbalik. Objek yang di atasnya hitam dan di bawahnya putih, harus diterbalikkan bagi membolehkah putih berada di atas dan hitam berada di bawah. Bermakna, mustahil hitam dan putih itu boleh berada di atas dalam satu masa yang sama.
Ini selaras dengan Firman Allah : ” Wahai orang-orang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh “
Contohnya mudah. Satu pertunjukan fesyen namanya Islamik Fashion Show, dan orang yang memperagakan fesyen itu memakai tudung dengan kebaya yang sendat, kainnya sedikit terbelah. 
 
Satu lagi pertunjukan fesyen namanya Global Fashion Show, dan orang yang memperagakan fesyen itu tidak memakai tudung, ‘berkemban’ dan kain separas peha.
 
Terpulanglah. Ada yang menganggap antara dua pertunjukan itu, ada beza. Tetapi pada saya, sama sahaja. Maka, kiaskanlah sendiri dengan fenomena filem yang saya tulis di atas.
 
ALTERNATIF
 
Benar, dalam mengkritik perlu disuakan alternatif. Mengkritik sahaja tanpa memberi cadangan samalah dengan penonton pasukan bola sepak. Sembang berdegar-degar, maki mencarut semua keluar, tetapi sedikit pun tidak ada manfaat pada pemain bola.
 
Jadilah seperti pengurus pasukan bola. Geram, marah dan tidak puas hati tetap ada. Tetapi akalnya ligat memikirkan langkah dan strategi demi kemajuan dan kebaikan pemain bola.
 
Industri Filem hari ini sangat parah dalam menghasilkan filem bergenre dakwah yang benar-benar berupaya ‘merealitikan’ Islam dalam masyarakat. Mungkin juga, perkara ini berpunca dari asas kefahaman kepada Islam itu sendiri. 
 
Masyarakat kita masih ramai bermentaliti, hendak menjadi ‘baik’ dan ‘islamik’ , maka kena pakai kopiah atau tudung. 
 
Sebab itu, kalau hendak ke masjid kena pakai kopiah dan tudung, kalau ada majlis kematian, majlis tahlil dan doa selamat, waktu itu kena pakai kopiah, songkok atau tudung. Selain dari tempat-tempat tersebut, tidak boleh atau tidak perlu pakai.
 
Membuat filem juga begitu. Kalau nak jadikan filem itu Islamik, maka namanya kena ada unsur-unsur bahasa arab, tahajjud ke, istikharah ke, munajat ke, kemudian tambah dengan perkataan cinta. Jadi filem itu automatiknya bertukar menjadi Islamik.
 
Sedangkan Islam tidak begitu. Islam tidak hanya bercerita tentang nama semata-mata. Islam menekankan tentang benda yang dinamakan
 
Biarlah filem itu namanya tidak Islamik sekalipun, tetapi mesej dan pedoman dalam filem tersebut cukup besar memberi impak pada masyarakat.
 
Ternyata, dalam bab-bab ini Industri Filem kita masih lemah. Kita masih terperangkap dengan filem-filem aksi ala gangster, filem hantu, khurafat, tahyul dan filem cinta berbaur Islamik yang bersifat lakonan semata-mata.
 
Maka sebagai alternatif, golongan muda yang berjiwa dakwah khususnya yang berkecimpung dalam bidang berkaitan perfileman atau lakonan, ataupun produser filem sedia ada,  berusahalah menghasilkan filem yang konsisten membawa mesej Islam itu sendiri, dan bukannya berlumba-lumba menghasilkan filem berjudul Islamik semata-mata.
 
Contohnya, Islam menekankan tentang penjagaan maruah. Seorang suami bertanggungjawab menjaga maruah diri dan isterinya, begitu juga ayah bertanggungjawab menjaga maruah anak-anaknya. 
 
Kehebatan Islam terserlah apabila meletakkan syarat bermusafir bagi wanita tanpa mahram, mengangkat martabat wanita dengan kemuliaan, dan meletakkan tanggungjawab sebagai ketua ( sifat qawwamah ) ke atas lelaki.
 
Sebuah filem yang berjaya menghuraikan konsep di atas dan dikaitkan dengan kebaikan ajaran Islam itu sendiri, sebenarnya telah berjaya membawa mesej dakwah kepada masyarakat. Mesej itu jauh lebih penting berbanding namanya.
 
impak sesebuah filem dinilai pada mesej yang dibawa
 
Supaya lebih jelas, saya menyarankan anda khususnya lelaki menonton filem berjudul ‘ Taken ‘ yang sebenarnya bukanlah satu filem yang baru. 
 
Saya sendiri telah menonton filem ini berpuluh-puluh kali. Setiap kali menonton filem ini, saya memperoleh ibrah dan mesejnya dengan jelas. 
 
Kisah seorang anak yang bermusafir tanpa mahram, akhirnya terjebak dengan sindiket perdagangan manusia dan kesungguhan seorang bapa menyelamatkan anaknya benar-benar menyuntik motivasi dan merangsang kesedaran.
 
Pada saya, filem sebegini seribu kali lebih baik untuk ditonton dari filem bernama Islamik, tetapi langsung tidak ‘selamat’ untuk ditontoni.
 
Sekian.

Ahad, 10 Julai 2011

Bagaimana Matahari Terbit Dari Barat

Sehingga ke hari ini maseh belum ada manusia yang dapat menjelaskan teori atau fenomena “Bagaimana Matahari Terbit dari Barat”. 
 
Fenomena ini diterima oleh saintis Barat dan mereka telah mengeluarkan pelbagai teori. Malah tidak kurang juga dengan saintis-saintis, ilmuan dan pemikir Islam yang memberi pandangan dan komen. 
 
Tidak semua teori dari Barat adalah betul, maka marilah kita sama-sama kembali kepada Al-Quran dan mengkaji bagaimana agaknya penjelasan Al-Quran.

Untuk kebaikan bersama, baik kita “melihat” sepintas lalu akan teori-teori Barat ini sebelum kita mengkaji teori Al-Quran agar kita dapat membuat penelitian dan perbandingan.

Barat mengemukakan 3 teori iaitu:




1) Teori-1: “retrograde motion” iaitu relatif peredaran bumi dengan planet lain seperti planet Marikh.


2) Teori-2: perlanggaran bumi dengan komet atau planet lain yang amat dasyat sehingga menyebabkan bumi bertukar pusingan.

3) Teori-3: sebab keadaan bumi yang semakin hampir dengan matahari!

Ke tiga-tiga teori ini boleh dimuat turun dari kebanyakkan sesawang Internet (seperti www.Islamhadhari.net “Saintis Barat akui matahari akan terbit dari barat” pada Ogos 18, 2008). Di bawah ini adalah sedikit ringkasan dari petikan artikel di atas.

Fenomena ini terdapat di dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a, katanya, Rasulullah s.a.w telah bersabda (yang bermaksud).

“Tiga perkara, apabila zahir kesemuanya, tidak akan memberi manfaat iman seseorang itu. Sama ada yang tidak pernah beriman sebelum itu atau imannya tidak memberi kebaikan terhadap dirinya. (Iaitu) ketika matahari terbit dari arah barat, Dajjal dan Daabatul Ardh (sejenis makhluk dari dalam bumi).” 

(Riwayat Muslim)

Teori Al-Quran

Sekarang mari kita mengkaji teori Al-Quran “bagaimana matahari terbit dari barat”. Saya memilih dan mengkaji 7 ayat (mungkin ada banyak lagi ayat-ayat lain) yang saya fikirkan bagaimana Al-Quran menjelaskan tentang fenomena ini iaitu satu ayat pada surah Al-Qamar 
 
(54:1) (bermaksud) “Saat (hari Kiamat) semakin dekat, bulan pun merekah/terbelah” dan 6 ayat pada surah Al-Hijr (15:72-77) (bermaksud) (15:72) “Demi umur engkau, sesungguhnya mereka dalam keadaan mabuk dan kebingungan. (73) Lalu mereka disambar bunyi teriakan yang keras ketika matahari terbit. 
 
(74) Lalu Kami jadikan (negeri) mereka yang diatas jadi ke bawah (tertonggeng), dan Kami turunkan ke atas mereka hujan batu dari tanah yang keras. (75) Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda-tanda agi orang-orang yang memerhati (mengkaji). 
 
(76) Dan sesungguhnya (negeri) itu maseh benar-benar terletak pada jalan yang maseh tetap (tidak musnah dan maseh dilalui orang. (77) Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi tanda bagi orang-orang yang beriman )” .


Bulan merekah menyebabkan sifat bumi menjadi tidak stabil

Mengikut kajian saya, Al-Quran menjelaskan matahari akan terbit dari barat apabila bumi sudah “tertonggeng” iaitu kutub utara menjadi kutub selatan dan kutub selatan menjadi kutub utara. 
 
“Proses tertonggeng” ini berlaku apabila bulan merekah dan memancarkan tenaga elektrik ke arah bumi, menyebabkan daya magnet bumi bertindakbalas dan berpusing secara perlahan-lahan. 
 
Tenaga elektro-magnet ini juga akan menyebabkan otak manusia menjadi bingung dan keliru. Selain dari tenaga elektro-magnet, rekahan bulan juga akan memuntahkan batu-batu keras serta mengeluarkan tenaga bunyi, yang kemudian sampai kebumi. 
 
Sebab itu manusia di bumi akan mendengar bunyi yang kuat, dan kemudian manusia akan dihujani oleh batu-batan.

Apabila bumi sudah tertonggeng, maka manusia dibumi akan dapat melihat matahari terbit dari barat.

Teori Quran Vs Teori Barat

Kalau di kaji dengan teliti, teori yang dijelaskan Al-Quran ini agak berbeza dari teori-teori barat. Yang pertama, Al-Quran menjelaskan bulan yang menyebabkan bumi bertukar arah. Al-Quran menunjukkan perkaitan yang erat dan rapat antara bumi dan bulan. 
 
Tetapi teori barat tidak ‘nampak’ pun peranan bulan dalam proses kejadian ini.

Yang ke-duanya, teori Al-Quran nampak lebih jelas dan mudah difahami, malah boleh dibuktikan melalui ujikaji makmal. Sedangkan teori barat tidak dapat diuji dalam makmal dan tidak menunjukkan keadaan matahari akan naik dari barat! 
 
Kalau berlaku perlanggaran yang teramat dahsyat (dengan komet yang besar), maka bumi akan hancur! Perlanggaran ‘kecil’ (seperti yang berlaku di Mexico) tidak akan dapat menukar putaran bumi. Lagi pun sekiranya komet melanggar bumi dari “arah yang salah” ianya mungkin akan menambah kelajuan pusingan yang ada sekarang misalkan dari 24 jam kepada 10 jam sahaja/hari. 
 
Sekiranya bumi berputar pada kelajuan ini, maka kelajuan objek yang berada pada permukaan equator (atau khatulistiwa) ialah kira-kira 4,000 km/sejam yang akan memusnahkan segala-galanya yang ada dipermukaan bumi seperti rumah, bangunan, tumbuhan, pohon kayu, dan manusia serta binatang-binatang akan berterbangan.

Lagi pun untuk membolehkan bumi perputar pada arah bertentangan, komet yang melanggar bumi mesti pergerak pada kelajuan lebih dari 2 kali kelajuan putaran bumi iaitu 3,300 km/jam (sekiranya saiz komet sama besar dengan saiz bumi), dan mesti melanggar bumi pada sudut dan lokasi yang tepat. Kalau ianya melanggar pada kutub utara, maka matahari tidak akan ‘terbit dari barat’.

Yang ke-tiga, teori Al-Quran adalah lebih tepat sebab tidak berlaku kerosakkan yang besar kepada makhluk di bumi. Sekiranya berlaku kemusnahan yang besar (misalnya bumi hancur), maka ini bermakna sudah “betul-betul kiamat” dan bukannya lagi “hampir kiamat”. 
 
Di dalam hadith di atas menjelaskan selepas matahari naik dari barat maka segala amalan dan taubat tidak diterima lagi, dan dajal akan turun ke bumi (ini menunjukkan manusia maseh lagi hidup di bumi, dan berjalan seperti biasa).

Tambahan pula Al-Quran menyatakan (15:76) manusia akan melihat jalan-jalan tetap tegak, nampak seperti biasa tanpa sebarang kerosakan, dan maseh boleh dilalui.

Ke-empat, penjelasan Al-Quran lebih menyeluruh dan dari teori barat. Ahli sains telah mendapati bahawa terdapat ‘2’ jenis permukaan bulan iaitu permukaan yang cerah (yang sentiasa mengadap bumi), dan permukaan gelap (yang sentiasa membelakangi bumi). 
 
Kedua-dua permukaan ini mempunyai ciri-ciri yang berbeza yang amat ketara seperti warna, daya graviti, kandungan bahan-bahan, ketumpatan dan kemampatan, keradioaktifan, dan sebagainya. 
 
Oleh itu apabila bulan merekah ia akan merubah polar graviti, mengeluarkan tenaga elektromagnetik yang boleh menyebabkan daya graviti dan magnet bumi bertindak balas.
 
Kesimpulan

Al-Quran adalah kalam Tuhan dan kitab yang mengandungi pelbagai ilmu yang maha hebat dan menjelaskan segala-galanya. 
 
Fenomena matahari terbit dari barat dijelaskan Al-Quran dengan terperinci, jelas, dan saintifik. Penjelasan Al-Quran nampak lebih logik dan mudah difahami berbanding dengan teori-teori lain seperti dari Barat.

Zarah Halus Diterangkan Dalam Al Quran

Mikrobiologi merupakan kajian saintifik berkenaan mikroorganisma ataupun hidupan seni yang tidak dapat dilihat olah mata kasar seperti bakteria dan virus. 
Pada abad ke-19, seorang saintis berbangsa Belanda, Antoni Van Leewenhoek merupakan orang yang pertama melihat bakteria dengan menggunakan mikroskop sederhana. 
Hanya selepas kira-kira 50 tahun, ahli mikrobiologi yang terkenal pada abad ke-19, Evenovski dapat mengenal pasti bahawa virus merupakan mikroorganisma paling kecil setakat ini.
Zarah Halus Dalam Al-Quran
Virus hanya bolah dilihat dengan menggunakan mikroskop elektronik. Kitab suci Al-Quran telah membentuk satu konsep mikrobiologi didalamnya. Firman Allah s.w.t. :
قُلِ ٱدۡعُواْ ٱلَّذِينَ زَعَمۡتُم مِّن دُونِ ٱللَّهِۖ لَا يَمۡلِڪُونَ مِثۡقَالَ ذَرَّةٍ۬ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَلَا فِى ٱلۡأَرۡضِ وَمَا لَهُمۡ فِيهِمَا مِن شِرۡكٍ۬ وَمَا لَهُ ۥ مِنۡہُم مِّن ظَهِيرٍ۬

Katakanlah: " Serulah mereka yang kamu anggap (sebagai Tuhan) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarrah pun di langit dan di bumi, dan mereka tidak mempunyai suatu saham pun dalam (penciptaan) langit dan bumi dan sekali-kali tidak ada di antara mereka yang menjadi pembantu bagi-Nya.
(Surah Saba’ 34: ayat 22)
 
Perkataan zarrah zarrah membawa maksud zarah atau partikel yang sangat kecil seperti mikroorganisma unisel (satu sel) dan molekul atom. Allah SWT mengajarkan melalui ayat ini bahawa Dia (Allah) mengendalikan dunia ‘ghaib’ mikroorganisma. 
Dunia mikroorganisma yang tersembunyi dari manusia dan disebabkan itu manusia tidak mempunyai kawalan atasnya. Ianya terlalu kecil sebagai contoh lebar Bakteria berukuran kira-kira dari 0.2 mikron (1mikron 1/1000 milimeter), manakala untuk lebar virus berukuran kira-kira dari 0.5 mikron = 500 nanometer (1nanometer = 1/1000 mikron). 
Para saintis membuktikan bahawa mikroorganismaini menyebabkan penyakit wabak yang paling utama  Ayat Quran di atas menunjukkan bahawa makhluk kecil yang dikendalikan oleh Allah dan manusia tidak mempunyai kawalan pada mereka dan tidak mempunyai keupayaan untuk mengendalikan mereka dengan cara kita.
Tiada kuasa semulajadi, bagi mereka yang mengakui tiada Tuhan sebagai  kuasa yang tertinggi dapat menahan diri kehidupan mikroorganisma! Tiada teknologi yang moden, yang dianggapnya sempurna dan lengkap, boleh menghentikan pergerakan dan aktiviti mikroorganisma! 
 
Di sini Al-Quran menunjukkan kitaran hidup misteri dan fenomena-fenomena dari mikroorganisma yang terkandung  dalam makanan atau minuman seseorang dan secara tidak sedar mikroorganisma ini masuk ke dalam tubuhnya. Akibatnya, dia sering merasa sakit 
 
Matanya tidak dapat melihat Bakteria dan Virus yang terkandung dalam makanan dan minuman. Allah SWT menuntun mereka dengan cara mereka dan mengarahkan mereka untuk menyebar ke permukaan makanan dan minuman.

Mengapa tidak boleh kita menghilangkan mikroorganisma dari makanan atau minuman kita? Al-Quran memberikan jawapannya. Ia adalah kerana:
يُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُخَفِّفَ عَنكُمۡ‌ۚ وَخُلِقَ ٱلۡإِنسَـٰنُ ضَعِيفً۬ا

Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.
(Surah An Nisa’ 4: ayat 28)
 
 
Maka, tiada siapa pun kecuali Allah s.w.t. sendiri menciptakan dan mengawalnya.
تُفِيضُونَ فِيهِ‌ۚ وَمَا يَعۡزُبُ عَن رَّبِّكَ مِن مِّثۡقَالِ ذَرَّةٍ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِى ٱلسَّمَآءِ وَلَآ أَصۡغَرَ مِن ذَٲلِكَ وَلَآ أَكۡبَرَ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ۬ مُّبِينٍ

Kamu tidak berada dalam suatu keadaan dan tidak membaca suatu ayat dari Al Quran dan kamu tidak mengerjakan suatu pekerjaan, melainkan kami menjadi saksi atasmu di waktu kamu melakukannya. Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu, melainkan (semua tercatat) dalam Kitab yang nyata (Luh mahfuzh).
(Surah Yunus 10: ayat 61)
 
 Di dalam ayat ini, Allah SWT mendedahkan terdapat benda-bendayang sangat kecil dari molekul kecil seperti bakteria dan virus. 
Merujuk bidang Fizik, istilah bagi benda yang terkecil dikenali sebagai partikel kecil yang berkemungkinan untuk membahagi Atom kepada Proton, Neutron, dan Nukleus dan lain-lain. 
Secara mikrobiologinya, ia merujuk kepada bahagian dalam (organel) yang sangat kecil mikrob seperti DNA, RNA, membran sel, flagella, sitoplasma, dan plasmid dan lain-lain. 
Ayat al-Quran di atas menjelaskan bahawa bahagian organel dalam sel mikroorganisma ini tidak tersembunyi dari Allah dan hanya Dialah satu-satunya kekuatan untuk mengarahkan dan membimbing mereka berfungsi secara berkesan.
Mikroorganisma boleh dibahagikan menjadi dua, satu adalah mempunyai nukleus didalam sel, dan satu lagu tidak. Ragi (Yis) dan Amoeba adalah dari kategori pertama manakala Bakteria dan Virus tidak memiliki nukleus. 
Lebih beribu jenis Bakteria yang telah dijumpai seperti Coccus, Basillus, Vibrio, Escherichia coli, Bdellovibrio dan lain-lain. Ada lebih dari 400 jenis bakteria dalam perut seseorang manusia. Virus juga milik beratus-ratus kumpulan.
Sebuah sel Virus mengandungi asid nukleik (DNA atau RNA) dan kot protein. Mikroorganisma yang dihasilkan di dalam satu saat melangkaui ribuan. 
 
Pembelahan sel adalah sistem atau kaedah pembiakan, di mana sebuah nukleoid memanjang mula membahagi, ketika dinding sel baru dan membran sel mula membentuk Fransverse septum, bahgian lengkap dan sel-sel anak berasingan.

Ayat al-Quran di atas membincangkan tentang ciri-ciri Bakteria, Virus dan jenis-jenis mikroorganisma. Hanya Allah mempunyai kekuatan hanya untuk mencipta, mengawal dan memandu bahkan makhluk kecil seperti mikroorganisma.

Pengarang : Siddique Saqafi
Penterjemah : Ahmad Farhan bin Sulaiman
Tajuk artikel : Microbiology In Holy Quran
Sumber : http://www.islamxplored.com/2008/09/microbiology-in-holy-quran.html